Juwan Riduan


Putatan: Mayat lelaki ditemukan dengan kesan terbakar pada tubuh di sebuah pondok di pantai berhadapan Kem Tentera Lok Kawi, di sini, semalam.

Mayat ditemukan oleh orang awam pada jam 12.30 tengah hari sebelum melaporkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Balai Polis Putatan bergegas ke lokasi.

Katanya, hasil pemeriksaan awal Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah mendapati tiada elemen jenayah dan senjata di tempat kejadian.

"Pemeriksaan di sekitar lokasi menemui cecair yang mengandungi bahan mudah terbakar dan beberapa barangan peribadi termasuk kenderaan milik mangsa.

"Berdasarkan maklumat, mangsa berusia 22 tahun dan alamat terakhir di Taman Tanaki, Penampang," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Haris berkata, mayat dihantar ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, untuk bedah siasat.

"Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan bedah siasat," katanya.

MAYAT lelaki ditemui dengan kesan terbakar di pondok di pantai berhadapan Kem Tentera Lok Kawi. FOTO  Juwan Riduan
MAYAT lelaki ditemui dengan kesan terbakar di pondok di pantai berhadapan Kem Tentera Lok Kawi. FOTO Juwan Riduan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 12:38 PM