Yun Mikail

Putatan: Proses mengundi awal membabitkan anggota tentera darat di Kem Lok Kawi dekat sini, bermula sekitar jam 8 pagi tadi.

Tinjauan di pusat mengundi awal Sekolah Agama Rakyat Kem Lok Kawi mendapati, warga tentera darat serta pasangan mula beratur di tempat mengundi seawal jam 7 pagi.

Panglima 5 Divisyen Datuk Abdul Rahman A Wahad adalah individu pertama melaksanakan tanggungjawab mengundi tepat jam 8 pagi.

Turut membuang undi isteri Panglima Lima Divisyen, Datin Zarina Alif.

Lima saluran mengundi dibuka dan dijangka, pengundian akan berlangsung sehingga jam 5 petang.

Secara keseluruhan, terdapat lapan pusat mengundi awal bagi tentera darat di seluruh Sabah dan satu bagi Wilayah Persekutuan Labuan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Terdahulu, kerusi parlimen Putatan menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Shahelmey Yahya, calon Pakatan Harapan-Parti Keadilan Rakyat (PH-PKR) Awang Husaini Sahari, Ahmad Mohd Said daripada Warisan dan calon Pejuang Poyne B Tudus @ Patrick Payne.

ANTARA anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang menunggu giliran untuk membuang undi ketika tinjauan proses mengundi awal di Sekolah Agama Rakyat Kem Lok Kawi. FOTO MOHD ADAM ARININ
ANTARA anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang menunggu giliran untuk membuang undi ketika tinjauan proses mengundi awal di Sekolah Agama Rakyat Kem Lok Kawi. FOTO MOHD ADAM ARININ

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 11:03 AM