Mohd Haris menemubual salah seorang mangsa yang terselamat daripada insiden itu. FOTO Juwan Riduan
Mohd Haris menemubual salah seorang mangsa yang terselamat daripada insiden itu. FOTO Juwan Riduan

Putatan: Empat termasuk tiga beradik dikhuatiri lemas selepas mandi di pantai Gorongon, berhampiran Kampung Contoh, Putatan, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, empat mangsa berusia 8 hingga 17 tahun terbabit dikatakan bersama empat lagi rakan mereka ke pantai berkenaan untuk mandi.

Bagaimanapun, arus air laut berkenaan dikatakan tiba-tiba deras sebelum menghanyutkan kelapan-lapan mangsa.

Empat mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Korais Amit, 8, Norain Amit, 13, Rafidah Amit, 14, dan Dalang Amit, 17 tahun.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, empat daripada mangsa berusia 9 hingga 13 tahun berjaya menyelamatkan diri sebelum meminta bantuan daripada penduduk berhampiran.

Katanya, empat lagi mangsa pula gagal dikesan sebelum Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dihubungi untuk mendapatkan bantuan kecemasan.

"Operasi mencari mangsa dijalankan Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) JBPM, yang melakukan pencarian di permukaan ketika ini," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Mohd Haris berkata, seorang daripada mangsa yang terselamat dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

PASUKAN penyelamat menurunkan bot untuk mencari dan menyelamat mangsa lemas di Pantai Cherating, Kuantan. FOTO Khairulmizan Yahya.
PASUKAN penyelamat menurunkan bot untuk mencari dan menyelamat mangsa lemas di Pantai Cherating, Kuantan. FOTO Khairulmizan Yahya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 8:45 PM