Juwan Riduan

Putatan: Tiga keluarga berdepan dugaan hebat pada bulan Ramadan selepas tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Sri Pandan, Putatan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.50 tengah hari itu, api dipercayai bermula dari sebuah rumah sebelum merebak ke rumah berhampiran, namun pasukan bomba berjaya mengawal api daripada terus merebak.

Seorang mangsa Sahidi Tahir, 55, berkata, kejadian itu disedari anak sulungnya yang berada di tingkat atas sebelum memaklumkan biliknya di bahagian tengah terbakar.

"Ketika kejadian, saya bersama isteri sedang berehat di tingkat bawah, apabila melihat api sudah merebak kami terpaksa keluar dengan segera.

"Tiada harta benda yang sempat diselamatkan. Baju raya anak-anak yang sudah dibeli, semua hangus," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Kejadian kebakaran ini menjejaskan tiga keluarga daripada keseluruhan 22 penghuni di kawasan itu.

Sementara, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zainal @ John Radsung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.58 tengah hari dan 13 pegawai serta anggota dari BBP Penampang digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, maklumat awal hanya membabitkan sebuah rumah bagaimanapun ketika ketibaan anggota bomba, tiga rumah jenis tidak kekal di kawasan itu sudah terbakar.

"Api berpunca dari rumah di bahagian sebelah depan sebelum merebak ke sebelah kiri lokasi kebakaran berkenaan," katanya sambil menambah operasi pemadaman turut dibantu lapan anggota dari BBP Kota Kinabalu.

Menurutnya, pasukan bomba yang tiba di lokasi kemudiannya segera melaksanakan pemadaman bagaimanapun operasi tidak dapat dilakukan dengan lancar berikutan tekanan air pada pili bomba, rendah.

"Jentera kita juga tidak dapat masuk ke lokasi kejadian berikutan laluan ke kawasan ini sangat sempit. Kita hanya bergantung kepada pili bomba di kawasan ini.

"Operasi berjaya dikawal jam 2.45 petang dan dua rumah musnah keseluruhan manakala rumah terakhir terjejas sebanyak 50 peratus.

Katanya, enam pasukan forensik dari ibu pejabat serta zon turut berada di lokasi bagi melakukan siasatan berkenaan punca kejadian.

ANGGOTA bomba memadam kebakaran di Kampung Sri Pandan, Putatan. FOTO Juwan Riduan
ANGGOTA bomba memadam kebakaran di Kampung Sri Pandan, Putatan. FOTO Juwan Riduan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 6:15 PM