Juwan Riduan


Penampang: Seorang ibu nekad terjun ke sungai bersama tujuh anaknya termasuk berusia dua tahun untuk menyelamatkan diri selepas Kampung Dumpil, Putatan, di sini, terbakar malam tadi.

Sahara Ismail, 35, bersama ketujuh-tujuh anaknya yang berusia dua hingga 16 tahun terpaksa meredah air sungai paras paha sebelum diselamatkan oleh penduduk kampung berkenaan.

Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang tidur dan terjaga untuk membuat susu anak perempuannya yang berusia dua tahun.

"Ketika itu, saya sedang tidur dan terjaga kerana membuat susu untuk anak. Saya kemudian terdengar teriakan lalu membuka pintu dan melihat rumah jiran terbakar.

"Lalu saya masuk ke dalam rumah dan mengejutkan semua anak saya sambil mendukung anak bongsu dan terus terjun ke sungai," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, ketika itu, air sungai pada paras paha dan terpaksa meredah kerana keselamatan anak-anaknya.

"Saya dibantu oleh anak saya berusia 16 tahun dan orang kampung ke kawasan selamat.

"Rumah saya tidak terbakar namun saya panik ketika itu kerana api sudah merebak ke rumah jiran yang terletak bersebelahan dengan rumah saya.

"Anak-anak saya semua selamat namun badan kami semua berlumpur kerana meredah air sungai. Nasib baik ketika itu air surut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kebakaran itu pada 10.20 malam.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang ke lokasi kejadian.

SAHARA bersama tujuh anaknya ketika ditemui di lokasi kebakaran di Kampung Dumpil, Putatan. FOTO Juwan Riduan
SAHARA bersama tujuh anaknya ketika ditemui di lokasi kebakaran di Kampung Dumpil, Putatan. FOTO Juwan Riduan

"Setiba di lokasi pasukan bomba sudah berada di lokasi dalam usaha memadamkan kebakaran yang berlaku di kawasan berkenaan.

"Setakat ini, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) antara 17 ke 20 rumah yang musnah terbakar.

"Api berjaya dikawal jam 12.20 tengah malam," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, semua mangsa yang terbabit akan dipindahkan di Dewan Program Perumahan Rakyat (PPR) Serigai, Putatan.

"Setakat ini berdasarkan maklumat bomba dan masyarakat yang terbabit, tidak ada mangsa yang terkorban dalam kebakaran ini.

"Punca kebakaran kita serahkan kepada pihak forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah untuk menjalankan siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 8:26 AM