GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kes harian Covid-19 di Sabah meningkat semula sejak beberapa hari lalu selepas merekodkan penurunan dan mencatat kadar terendah 108 kes sejak Mei.

Bermula Isnin lalu, jangkitan virus berkenaan di Sabah meningkat semula kepada 125 kes, diikuti 168 kes pada Selasa dan naik lagi kepada 192 kes semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata, peningkatan itu berikutan pertambahan kes dua angka di lapan daerah pada Selasa dan tujuh daerah semalam berbanding hanya tiga daerah pada Isnin.

Katanya, bagi catatan kes semalam, daerah yang mencatat kes dua angka ialah Kota Kinabalu (37 kes), Ranau (24 kes), Tuaran (20 kes), Penampang dan Putatan masing-masing 17 kes, Kota Belud (14 kes) dan Beaufort (10 kes).

"Sebanyak 16 daerah lagi mencatat kes satu angka, manakala empat daerah mencatat sifar kes.

"Kota Kinabalu dan Ranau mencatat perubahan agak tinggi, masing-masing dengan peningkatan sebanyak 16 kes dan 13 kes berbanding semalam (kelmarin)," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Jumlah daerah dengan sifar kes turut menurun daripada sembilan daerah, Ahad lalu kepada lapan daerah pada Isnin, lima daerah kelmarin dan turun lagi kepada empat daerah semalam.

Bagaimanapun, Masidi berkata tiada kes kematian disebabkan Covid-19 dilaporkan di Sabah semalam, berbanding satu kes kelmarin dan dua kes kematian pada Isnin.

"Bilangan pesakit Covid-19 sembuh hari ini (semalam) pula ialah 372 orang menjadikan jumlah kumulatif 233,287 orang dilaporkan sembuh sehingga kini," katanya.

Sementara itu, katanya 644 pesakit masih menerima rawatan iaitu 343 orang di hospital, 299 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) awam dan dua orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau penjara.

Pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal di Sabah ketika ini adalah 37 orang merangkumi 33 orang unit rawatan rapi (ICU) dan empat orang di wad terbuka, manakala 11 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

"Bilangan pesakit tahap empat dan lima yang masih belum lengkap vaksin pula seramai 19 orang atau 24.36 peratus daripada jumlah pesakit yang sedang dirawat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 10:42 AM