GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Jumlah kes harian Covid-19 di Sabah kembali mencecah melepasi angka 200 direkodkan semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata jumlah kes yang melepasi angka 200 itu sekaligus memperlihatkan peningkatan secara mendadak.

"Jumlah kes harian di Sabah meneruskan trend peningkatan dan hari ini (semalam) sebanyak 226 kes dan jumlah ini adalah 34 kes lebih tinggi daripada jumlah Rabu lalu sekaligus melepasi paras angka 200.

"Lebih banyak daerah mencatat kes baharu dua angka dengan Kota Kinabalu yang mencatatkan kes tertinggi 46 kes kemudian diikuti dengan Tuaran sebanyak 37 kes.

"Manakala lapan daerah lain lagi mencatatkan kes antara 10 hingga 18 kes. Sebanyak 14 daerah mencatatkan kes satu angka dan cuma tiga daerah tidak mencatatkan sebarang kes baharu.

"Tuaran dan Tawau merekodkan peningkatan kes baharu tinggi masing-masing dengan 37 dan 15 kes manakala Ranau adalah satu-satunya daerah yang menunjukkan penurunan kes baharu iaitu 12 kes," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, semalam.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata jumlah kematian akibat Covid-19 direkodkan sebanyak satu angka sahaja.

"Tujuh kes kematian dilaporkan pada hari ini (semalam) iaitu dua di daerah Penampang manakala masing-masing satu kes di Beaufort, Keningau, Kota Kinabalu, Kota Marudu dan Tambunan.

"Bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 111 menjadikan jumlah kumulatif 233,398 orang.

"Manakala 658 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 341 orang di hospital, 314 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, dua orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan satu seorang di fasiliti swasta," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 8:24 AM