GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Ranau mencatat kes harian Covid-19 tertinggi di Sabah dengan 104 kes baharu semalam atau kira-kira satu perenam daripada 599 kes di Sabah.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, ia menjadikan Ranau satu-satunya daerah mencatat kes tiga angka dengan peningkatan mendadak berbanding 31 kes kelmarin.

Katanya, bilangan kes diikuti Beaufort dengan 57 kes, Kota Kinabalu (50 kes), Kota Belud (48 kes) dan Kota Marudu (33 kes).

"Jumlah kes harian di Sabah masih menunjukkan peningkatan walaupun pada skala yang kecil. Hari ini (semalam) kes positif meningkat sebanyak 14 menjadikan jumlah jangkitan baharu sebanyak 599 kes," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Secara keseluruhan 26 daerah di Sabah masih dalam zon merah, manakala satu daerah iaitu Kalabakan beralih ke zon kuning.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, sebanyak 11 kes kematian dilaporkan semalam, masing-masing dua kes di Kota Kinabalu dan Beaufort, manakala Beluran, Keningau, Kinabatangan, Kudat, Pitas, Sipitang dan Tawau masing-masing satu kes.

Seramai 487 pesakit pula dilaporkan sembuh, manakala 1,874 pesakit sedang menerima rawatan di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) seluruh negeri.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 9:26 AM