GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah hanya mencatat 53 kes baharu positif Covid-19 hari ini iaitu yang terendah dalam tempoh lima bulan sejak Oktober lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 11 kes direkodkan di Nabawan, diikuti Keningau dengan lapan kes dan Sandakan serta Tawau masing-masing lima kes.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, Kota Kinabalu hanya mencatat satu kes baharu hari ini, iaitu yang terendah direkodkan di ibu negeri setakat ini.

Selain itu, katanya, Kota Marudu, Sipitang, Pitas dan Tenom turut mencatat satu kes, manakala 10 daerah tidak mencatat sebarang kes.

"Hari ini hanya satu daerah mencatat kes dua angka, manakala 16 daerah mencatat satu angka, diikuti 10 daerah tanpa sebarang kes.

"Bilangan daerah dalam zon kuning bertambah kepada 13 daerah, diikuti dua daerah dalam zon jingga dan satu zon hijau, manakala 11 daerah dalam zon merah," katanya dalam kenyataan perkembangan Covid-19 di Sabah, malam ini.

Beliau berkata, peningkatan daerah dalam zon kuning berikutan perubahan zon bagi daerah Papar dan Putatan daripada jingga ke kuning.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata seramai 85 pesakit Covid-19 sembuh hari ini, manakala seramai 714 orang masih dirawat.

Beliau berkata, ia merangkumi 250 orang di hospital, 459 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) awam dan lima orang lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS).

"Bilangan pesakit Covid-19 dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 33 orang dengan 15 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

"Jumlah pesakit masih dirawat mewakili 14.26 peratus penggunaan katil daripada 5,008 unit katil yang disediakan untuk pesakit Covid-19 di Sabah, setakat ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 10:38 PM