Gambar hiasan. FOTO ARKIB NSTP
Gambar hiasan. FOTO ARKIB NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sandakan mencatat kes kematian tertinggi akibat Covid-19 dengan sebanyak 21 kes daripada 54 jumlah kematian keseluruhan yang direkodkan di Sabah semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, Tawau turut mencatat kematian yang tinggi akibat Covid-19 dengan sebanyak 14 kes dilaporkan semalam.

"Selain itu, sebanyak enam kes kematian dilaporkan di Lahad Datu, tiga kes di Kota Kinabalu, masing-masing dua kes di Keningau dan Papar, manakala satu kes kematian turut dicatatkan di Semporna, Sipitang, Ranau, Kinabatangan, Penampang dan Kunak," katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Kes kematian akibat Covid-19 di Sabah semalam menunjukkan peningkatan sembilan kes berbanding 45 kes pada kelmarin dan antara yang tertinggi selepas 55 kes kematian yang dilaporkan pada 4 September lalu.

Sementara itu, Masidi berkata seramai 5,668 pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh di Sabah semalam, manakala seramai 4,983 pesakit sedang menerima rawatan di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

"Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah seramai 195 orang, merangkumi 126 orang di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 'repurposed kritikal care' serta 69 di wad terbuka dengan seramai 89 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.

Secara keseluruhan, Sabah mencatat sebanyak 2,067 kes positif Covid-19 pada semalam, menurun sedikit berbanding 2,107 kes kelmarin.

Daerah ini kekal mencatat kes baharu tertinggi dengan sebanyak 347 kes, diikuti Sandakan (306), Tuaran (163), Keningau (122), Tawau (107), Kota Belud (107) dan Penampang (106).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 12:19 PM