MASIDI. FOTO Arkib NSTP
MASIDI. FOTO Arkib NSTP
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Lapan daerah di Sabah mencatatkan sifar kes Covid-19 hari ini, kata jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun.

Beliau berkata, antara lapan daerah terbabit adalah daerah Putatan, Kinabatangan, Lahad Datu, Telupid, Tongod, Semporna, Kalabakan dan Kunak.

"Manakala 13 daerah mencatat jumlah kes baharu di bawah angka 10 membabitkan daerah Keningau, Beaufort, Sandakan, Kuala Penyu, Tenom, Tambunan, Nabawan, Sipitang, Tawau, Kota Marudu, Kudat, Pitas dan Beluran.

"Beberapa daerah merekodkan penurunan kes baharu pada kadar yang agak besar dengan Kota Kinabalu sebanyak 30 kes, Papar (17), Ranau (22) dan Tenom (5) kes.

"Bagaimanapun beberapa daerah lain mencatat kes harian tinggi termasuk Tuaran sebanyak 35 kes," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Masidi berkata, jumlah kes harian Covid-19 di Sabah hari ini kekal mencatatkan tiga angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 hari ini sebanyak 197 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 237,122 kes.

"Satu kes kematian dilaporkan pada hari ini di daerah Keningau.

"Bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 335 menjadikan jumlah kumulatif 227,760 orang, manakala 1,042 pesakit menerima rawatan iaitu 526 orang di hospital, 507 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, tujuh orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan dua orang di fasiliti swasta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 10:07 PM