GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Enam daerah di Sabah mencatatkan kes harian Covid-19 yang berpunca daripada saringan bergejala melebihi 50 peratus.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata ini menjadikan jumlah kes Covid-19 yang berpunca daripada saringan bergelaja terus meningkat.

"Jumlah kes yang berpunca daripada saringan bergejala terus meningkat dan hari ini (semalam) mencatatkan 41.4 peratus daripada keseluruhan jumlah bagi negeri Sabah.

"Malah ada beberapa daerah di Sabah di mana kes positif yang diperoleh melalui saringan bergejala melebihi 50 peratus daripada jumlah kes di daerah tersebut.

"Antaranya, Kota Marudu mencatatkan sebanyak 31 kes daripada 45 kes, dan Kudat 18 kes daripada 31 kes.

"Beberapa daerah lain seperti Ranau mencatatkan 25 daripada 53 kes , Pitas 11 daripada 23 kes, Penampang 15 daripada 30 kes dan Tuaran pula merekodkan 10 daripada 19 kes disamping juga mencatatkan kes jangkitan secara sporadik yang agak tinggi," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, semalam.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata jumlah kes harian Covid-19 semalam kekal mencatatkan kes sebanyak tiga angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini (semalam) adalah sebanyak 589 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 216,852 kes.

Sebanyak 13 kes kematian dilaporkan iaitu dua kes di Kota Kinabalu, Kinabatangan dan Tawau manakala masing-masing satu kes di Beluran, Kota Marudu, Nabawan, Kudat, Papar, Ranau dan Tenom.

"Bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 558 menjadikan jumlah kumulatif 206,160 orang.

"Manakala 1,854 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 719 orang di hospital, 1,114 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 20 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) manakala seorang di fasiliti swasta," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 10:50 AM