SERAMAI 10,231 PPS ditempatkan di 10,231 sekolah di seluruh negara membabitkan sekolah rendah dan sekolah menengah di bawah KPM. FOTO Azrul Edham
SERAMAI 10,231 PPS ditempatkan di 10,231 sekolah di seluruh negara membabitkan sekolah rendah dan sekolah menengah di bawah KPM. FOTO Azrul Edham
Muhaamad Hafis Nawawi dan Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Selepas lebih seminggu sesi persekolahan bermula, kehadiran Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) ke sekolah dilihat dapat membantu guru dalam menangani isu membabitkan masalah dalam kalangan pelajar, termasuk kes buli, bagi mengelak kejadian lebih serius.

Setakat ini, 10,231 PPS ditempatkan di 10,231 sekolah di seluruh negara membabitkan sekolah rendah dan sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Pada masa sama, kehadiran PPS di sekolah bukan sahaja dapat mendekatkan diri mereka dengan pelajar malah berkongsi maklumat berguna.

Ia juga membantu remaja terbabit daripada terbabit dengan jenayah hasil lawatan dan ceramah disampaikan PPS sendiri.

Presiden Ikatan Guru Muslim Malaysia (i-Guru) Mohd Azizee Hasan berkata, PPS dilihat sebagai rakan strategik sekolah dalam membantu menangani isu disiplin pelajar terutama gejala buli, ketagihan dadah, kecurian dan sebagainya.

Menurutnya, ia membantu menjaga keselamatan sekolah seterusnya menjadikan persekitaran sekolah selamat.

"Sekolah juga boleh mendapatkan pandangan daripada PPS berkaitan isu jenayah.

"Apa sahaja isu membabitkan pelajar yang sering dihadapi guru memerlukan sokongan dan kerjasama PPS dalam mengelak pelajar terbabit dalam kes termasuk gejala buli," katanya kepada Harian Metro.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia berkata, banyak isu bergantung kepada lokaliti sekolah, begitu juga sekolah pelbagai kaum atau sekolah yang hanya satu kaum.

"Jadi kesnya berbeza. Kebiasaannya, yang berlaku kes gengsterisme membabitkan pelajar, buli, gangguan seksual serta curi.

"Kehadiran PPS sangat membantu pihak sekolah untuk bertindak pantas selain mencegah isu lain seperti keselamatan," katanya.

Beliau berharap, program PPS diteruskan dan ditambah baik.

"PPS juga boleh mengadakan lawatan berkala, sekurang-kurang dua kali sebulan, serta mewujudkan Kelab Pencegahan Jenayah di sekolah-sekolah sebagai mekanisme kesedaran terhadap ancaman jenayah selain Kadet Polis Sekolah," katanya.

Terdahulu, PPS di seluruh negara baru-baru ini turut hadir pada sesi pembukaan sekolah.

PPS berkenaan memberi taklimat ringkas berkaitan pencegahan jenayah dan pada masa sama, menyantuni dan beramah mesra dengan guru, pelajar dan ibu bapa.

Program PPS di sekolah bantu menurunkan kadar jenayah

Kehadiran Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) memainkan peranan penting dalam usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) menurunkan kadar jenayah di sekolah, termasuk kes buli.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kepolisan Komuniti Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Alina Saad berkata, terdapat 10,234 PPS sekolah rendah dan sekolah menengah berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di seluruh negara.

"Di setiap sekolah berkenaan, PDRM menempatkan seorang pegawai bagi sekolah menengah, manakala seorang anggota di sekolah rendah.

"Mereka yang dilantik sebagai PPS adalah terdiri daripada pegawai dan anggota bertugas di pelbagai jabatan di peringkat daerah seperti Bahagian Jenayah, Bahagian Narkotik serta Bahagian Trafik.

"Peranan utama PPS adalah menjadi perantara antara PDRM dengan masyarakat khususnya pihak sekolah serta pelajar untuk memberi kesedaran mengenai pencegahan jenayah," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, semalam.

ALINA. FOTO Hairul Anuar Rahim
ALINA. FOTO Hairul Anuar Rahim

Katanya, meskipun mempunyai tugas hakiki, pegawai dan anggota yang dilantik sebagai PPS bertanggungjawab untuk memantau dan melakukan lawatan sekali sebulan bagi sekolah di bandar serta dua bulan sekali bagi sekolah di luar bandar.

"Apabila PPS membuat lawatan ke sekolah, mereka akan berjumpa dengan pengetua serta pihak pentadbiran sekolah dan perlu mengisi buku lawatan.

"Menerusi perjumpaan itu, pihak sekolah boleh merujuk kepada PPS sekiranya mempunyai sebarang isu atau kes jenayah yang berlaku di sekolah berkenaan," katanya.

Mengulas berkaitan isu buli di sekolah, beliau berkata, ia adalah kes terpencil dan jumlah kes dilaporkan mencatatkan penurunan bagi tempoh 2022 hingga 2023.

"Pada tahun lalu, 186 kes dilaporkan yang menyaksikan penurunan 18 kes berbanding 204 kes pada 2022 dengan kes mendatangkan kecederaan serta kes merusuh tanpa senjata mencatatkan jumlah tertinggi sepanjang tempoh itu.

"Selain isu buli, ada juga laporan diterima di sekolah membabitkan jenayah seksual dengan kesalah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 7:01 AM