AZMAN  (tengah) menerangkan kepada pelajar mengenai pengambilan bahaya rokok dan vape pada Majlis Pelancaran Kempen Pencegahan Rokok Dan Vape 2023 di Kolej Tingkatan Enam Desa Mahkota. FOTO Genes Gulitah
AZMAN (tengah) menerangkan kepada pelajar mengenai pengambilan bahaya rokok dan vape pada Majlis Pelancaran Kempen Pencegahan Rokok Dan Vape 2023 di Kolej Tingkatan Enam Desa Mahkota. FOTO Genes Gulitah
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi dengan kejadian buli di sekolah, namun tindakan terhadap guru besar dan pengetua yang melaporkan kejadian itu diputuskan berdasarkan situasi buli yang berlaku di sekolah terbabit.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Azman Adnan menafikan dakwaan kes buli disembunyikan bagi menyelamatkan guru besar dan pengetua daripada dikenakan tindakan.

Katanya, tindakan sewajarnya diputuskan mengikut prosedur KPM selepas melihat hasil siasatan laporan kes.

"Saya ingat itu persepsi. Saya tak boleh kata tiada tindakan tetapi bergantung kepada kes berkenaan.

"Sebenarnya kita akan lihat berdasarkan laporan, kita buat siasatan dan ambil tindakan berdasarkan prosedur yang ada," katanya kepada media selepas melancarkan Kempen Hidup Sihat Cegah Rokok dan Vape KPM Peringkat Kebangsaan di Kolej Tingkatan Enam Desa Mahkota di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai dakwaan wujud kes buli disembunyikan bagi mengelak guru besar atau pengetua sekolah itu diambil tindakan.

Mengulas lanjut, Azman berkata, sekolah perlu mematuhi garis panduan dikeluarkan KPM dalam menangani isu berkaitan buli.

"Pada saya apabila keluar garis panduan, sekolah sudah tahu dan mereka perlu patuhi semua prosedur.

"Apabila ada aduan dan sebagainya maka kita akan siasat dan melaluinya kita akan buat intervensi bersesuaian untuk tangani isu ini termasuk memastikan kejadian sama tidak berlaku lagi.

"Kita juga libatkan Jawatankuasa Permuafakatan Sekolah membabitkan ibu bapa, komuniti dan sebagainya," katanya.

Baru-baru ini masyarakat dikejutkan dengan isu pelajar tingkatan dua melarikan diri dari asrama sebuah sekolah menengah di Cheras di sini, dipercayai menjadi mangsa buli.

Susulan itu, KPM mengarahkan pihak sekolah menyediakan laporan lengkap berhubung insiden terbabit.

KPM akan mengambil tindakan selanjutnya selepas menerima laporan lengkap dan menjalankan siasatan berhubung kejadian buli itu.

Berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli, pengetua atau guru besar yang mengetahui kejadian salah laku buli di sekolahnya, perlu mengambil lima tindakan pengendalian aduan, dalam tempoh 24 jam.

Ia termasuk menghubungi ibu bapa atau penjaga pelajar terbabit sama ada pelaku dan mangsa dan menghantar mangsa ke klinik atau hospital berdekatan jika ada kecederaan atau gangguan emosi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 1:56 PM