ARIS Mamat ketika melakukan tinjauan harga barang di Pasar Awam Batu Pahat. FOTO Essa Abu Yamin
ARIS Mamat ketika melakukan tinjauan harga barang di Pasar Awam Batu Pahat. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin

Batu Pahat: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meningkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) bagi mencari jalan untuk mengembalikan harga normal barangan keperluan.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Pencegahan) KPDNHEP Aris Mamat berkata, langkah berkenaan sebagai jaminan untuk mengurangkan beban pengguna yang terkesan susulan peningkatan harga pelbagai barang keperluan kebelakangan ini.

"Sehingga kini, harga barang-barang makanan seperti sayur, ikan dan ayam tidak banyak beza di seluruh negara.

"Ramai peniaga masih mengekalkan harga asal seperti daging import," katanya ketika sidang media selepas melakukan tinjauan harga barang di Pasar Awam Batu Pahat dekat sini, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya tidak menolak akan berlaku kenaikan harga disebabkan permintaan tinggi tetapi kekurangan bekalan.

"Kebanyakan peniaga masih menjual barang keperluan dalam kadar yang tidak jauh beza dengan harga sebelum ini.

"Peniaga juga didapati tidak mengalih beban kepada pengguna dengan banyak dan hasil pemantauan tiada harga melampau terhadap pengguna dan harga masih pada tahap munasabah," katanya.

Sementara itu, hasil pemeriksaan Ops Pasar yang dilaksanakan sejak 20 November hingga 3 Disember lalu, sebanyak 21 notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dikeluarkan oleh KPDNHEP Batu Pahat.

"Notis berkenaan dikeluarkan kepada peniaga yang menjual sayuran seperti tomato, lobak, kubis bulat, cili merah dan sebagainya bagi tujuan siasatan lanjut untuk mendapatkan maklumat kenaikan harga yang berlaku dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.

"Mengikut rekod bermula Januari lalu hingga semalam, sebanyak 12,789 premis diperiksa membabitkan peruncit, pemborong dan pengilang oleh KPDNHEP Batu Pahat dan daripada jumlah pemeriksaan berkenaan sebanyak 162 kes dikompaun dengan nilai RM32,700 dan rampasan sebanyak RM34,093," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 2:40 PM