ROSOL bersama pegawai kementerian memeriksa barangan mentah di pasar raya di Kangar, hari ini. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman.
ROSOL bersama pegawai kementerian memeriksa barangan mentah di pasar raya di Kangar, hari ini. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


SEBANYAK 103 notis amaran dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terhadap peniaga yang menaikkan harga barangan di seluruh negara, sejak semalam.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, tindakan itu susulan laporan pengguna berhubung beberapa barangan segar seperti ayam yang dijual yang didakwa naik harga mendadak dalam tempoh seminggu.

"Keperluan barang keperluan seperti ayam dan sebagainya adalah mencukupi, malah saya juga sudah meminta pembekal menambahkan jumlah bekalan ke setiap negeri berikutan musim perayaan.

"Cuma apa yang kita dapati, harganya mengalami sedikit kenaikan, namun kita sudah mengeluarkan notis sejak semalam kepada peniaga yang sengaja menaikkan harga barangan agar mereka ini dibawa ke muka pengadilan," katanya ketika ditemui di pasar raya besar di Bukit Lagi, Kangar hari ini.

Semalam, beberapa negeri di Semenanjung melaporkan kenaikan harga barangan mentah secara mendadak dalam tempoh seminggu terutama ayam.

Harga yang dijual ketika ini adalah antara RM8 sehingga ke RM9.60 bagi sekilogram ayam, manakala barangan mentah seperti santan dan sayuran turut didakwa mahal berbanding sebelumnya.

Rosol juga berkata, Terengganu mencatatkan kenaikan harga ayam paling mendadak berbanding negeri lain.

"Di Terengganu harganya mencecah RM9.60 bagi sekilogram ayam, sedangkan harga siling yang dijual sebelum ini adalah antara RM6 dan ke bawah.

"Namun kita menasihati pengguna agar menjadi pengguna yang bijak dengan membeli beberapa barangan mengikut keperluan atau barangan mentah lain yang lebih rendah harganya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2020 @ 12:35 PM