Mohd Koma memeriksa tanda harga barang keperluan di sebuah premis peniagaan di Gua Musang. FOTO Ramli Ibrahim
Mohd Koma memeriksa tanda harga barang keperluan di sebuah premis peniagaan di Gua Musang. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengakui berlaku kenaikan harga sayur yang dijual sekitar bandar ini.

Kenaikan harga itu dipercayai berikutan bekalan sayur berkurangan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Cawangan Gua Musang, Mohd Koma Shapii berkata, kenaikan harga sayur itu berlaku kerana penutupan pasar besar di bandar ini.

Katanya, kenaikan harga sayuran itu tidak terlalu mendadak dan masih mampu dibeli pengguna.

Menurutnya, kenaikan harga sayur daripada pemborong Cameron Highlands itu juga disebabkan perhubungan jalan raya di Lojing terputus baru-baru ini.

"Kita mengeluarkan lima notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kepada peniaga sayur bagi mendapatkan justifikasi kenaikan harga.

"Apapun hasil siasatan dan pemantauan yang kita lakukan sejak bermula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP tiga hari lalu tidak ada kenaikan barang melampau.

"Barang keperluan seperti beras, tepung gandung, telor dan roti puteh mudah diperolehi di sekitar bandar ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau harga barang keperluan, di sini, hari ini.

Portal Metro empat hari lalu menyiarkan keluhan pengguna apabila pelbagai sayuran yang dijual di sekitar bandar ini melambung hingga hampir sekali ganda.

Antara harga sayuran yang dilaporkan naik seperti tomato, kubis, cili merah, timun, lobak, terung dan lada solok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 11:29 AM