HAFNAOUI tidak berpeluang mempertahankan emas Olimpik 400m gaya bebas. FOTO Reuters
HAFNAOUI tidak berpeluang mempertahankan emas Olimpik 400m gaya bebas. FOTO Reuters
Reuters

Tunis: Juara 400 meter (m) gaya bebas Olimpik, Ahmed Hafnaoui akan terlepas Paris 2024, jelas Akuatik Afrika (AA).

Badan induk benua itu berkata, dalam laman webnya, atlet Tunisia berusia 21 tahun berkenaan mengesahkan laporan media negaranya bahawa dia tidak akan berenang pada 26 Julai hingga 11 Ogos di temasya berkenaan.

Laporan AA berkata, Hafnaoui menolak untuk meneruskan latihan di Amerika Syarikat (AS) di mana dia berpangkalan sebelum ini tetapi tidak memberikan sebarang butiran.

Jawatankuasa Olimpik Tunisia dan persekutuan renang kebangsaan tidak memberikan komen segera kepada Reuters.

Seorang wakil Hafnaoui juga tidak memberikan sebarang ulasan segera.

Hafnaoui berlatih di California akhir tahun lalu di bawah bekas ketua jurulatih pasukan AS, Mark Schubert, yang menjalankan program renang jarak jauh elit di Orange County.

Bagaimanapun, dia memberitahu pemberita di Kejohanan Dunia di Doha pada Februari lalu bahawa dia pulang ke Tunisia, disebabkan isu visa.

Pada 2021 ketika di usia 18 tahun, Hafnaoui mengejutkan dunia dengan memenangi emas 400m gaya bebas dari lorong lapan pada Sukan Olimpik Tokyo yang tertangguh akibat pandemik, selepas mencatat masa paling perlahan dalam kalangan mereka yang layak ke final.

Dia merangkul gelaran 800m dan 1,500m gaya bebas pada Kejohanan Dunia tahun lalu di Fukuoka dan menjadi naib juara dalam 400m di belakang Sam Short dari Australia.

Bagaimanapun, dia gagal ke final dalam ketiga-tiga acara pada Kejohanan Dunia terakhir di Doha pada Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 8:55 AM