KPDNHEP pantau harga khidmat gunting rambut, salun kecantikan. FOTO Ihsan KPDNHEP
KPDNHEP pantau harga khidmat gunting rambut, salun kecantikan. FOTO Ihsan KPDNHEP
Suraya Roslan


SEBANYAK 32 Notis Pengesahan Harga Jualan serta Kos dan notis bertulis dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDNHEP WPKL) kepada pemilik premis perniagaan menawarkan perkhidmatan gunting rambut, dandanan serta kecantikan.

Ketua Penguatkuasa KPDNHEP WPKL, Azeem Nazuri berkata, pihaknya memandang serius dan mengambil berat dalam membanteras isu berkaitan kenaikan harga barang bagi membendung peniaga mengaut keuntungan berlebihan susulan prosedur operasi standard (SOP) bagi perkhidmatan gunting rambut, pendandan rambut dan kecantikan yang bermula pada 10 Jun lalu.

"Pasukan penguatkuasa KPDNHEP WPKL memulakan pemeriksaan pada 10 Jun lalu di premis perniagaan yang menawarkan perkhidmatan gunting rambut, pendandan rambut dan kecantikan sekitar Kuala Lumpur.

"Sehingga semalam sebanyak 16 premis diperiksa, daripada jumlah itu 16 Notis Pengesahan Harga Jualan serta Kos dan 16 notis bertulis dikeluarkan terhadap peniaga," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, peniaga diberikan tempoh tiga hari waktu bekerja untuk memberikan maklum balas daripada tarikh notis di terima.

"Sehingga kini, sebanyak lima Notis Pengesahan Harga Jualan serta Kos dan lima notis bertulis diterima untuk dianalisa.

"Tujuan notis ini dikeluarkan adalah untuk memastikan peniaga memberikan maklumat jualan dan kos supaya KPDNHEP dapat memantau sebarang kenaikan tidak munasabah yang akan dikenakan kepada pelanggan," katanya.

Katanya, peniaga diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga perkhidmatan menggunting rambut, dandanan serta perkhidmatan kecantikan dan juga dikehendaki meletakkan tanda harga sepertimana yang diperuntukkan dalam undang-undang.

Sebarang aduan boleh disalurkan kepada kementerian melalui portal [email protected], call centre di talian 1800-88-6800, emel [email protected], aplikasi telefon pintar Ez ADU atau Whatsapp ke 019- 2794317.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 2:53 PM