Tunku Mahkota Ismail akan menyempurnakan pembukaan rasmi Persidangan DUN Johor yang Ke-15.
Tunku Mahkota Ismail akan menyempurnakan pembukaan rasmi Persidangan DUN Johor yang Ke-15.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dijangka berangkat bagi menyempurnakan pembukaan rasmi bagi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang Ke-15, esok.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata Pemangku Sultan Johor dijangka menyampaikan titah pembukaan Persidangan DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, ketika perasmian esok.

"Persidangan DUN Johor akan berlangsung selama lima hari bermula esok sehingga 16 Mei depan.

"Ia dimulakan dengan istiadat perasmian pembukaan DUN Johor yang akan disempurnakan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail. Baginda juga akan menyampaikan titah utama esok.

"Ia diikuti dengan 56 Ahli Dewan Undangan Negeri Johor daripada pihak kerajaan dan pengimbang yang akan membahaskan titah Tunku Mahkota Ismail sepanjang persidangan DUN berlangsung selain sesi soal jawab pentadbiran negeri," katanya ketika dihubungi.

Sidang DUN Johor kali ini akan menjadi tumpuan kerana pertama kali akan dirasmikan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Ia selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu.

Tunku Mahkota Ismail dilantik sebagai Pemangku Sultan berkuat kuasa 22 November tahun lalu dan baginda akan memangku sepanjang tempoh Sultan Ibrahim melaksanakan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17.

Kedudukan Adun pada sidang DUN Johor menyaksikan BN menguasai 40 daripada keseluruhan 56 kerusi DUN selepas menang majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pada Mac 2022.

Pakatan Harapan (PH) pula mempunyai 12 kerusi DUN, diikuti Perikatan Nasional (PN) tiga dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), satu kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 10:15 AM