GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Johor Bahru: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor mengeluarkan 48 notis terhadap peniaga di negeri ini, hasil pemantauan dan pemeriksaan bekalan barangan keperluan sejak 1 Januari hingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Dr Chong Fat Full berkata, kesemua notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 itu, dikeluarkan untuk tujuan siasatan lanjut bagi mendapatkan maklumat kenaikan harga dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.

"Berdasarkan rekod, dari 1 hingga 23 Januari tahun ini, sebanyak 936 premis diperiksa KPDNHEP Johor yang meliputi 817 peruncit, 97 pemborong serta 22 pengilang di seluruh daerah di negeri ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Chong berkata, peniaga yang disyaki melakukan aktiviti mencatut akan disiasat dan sekiranya sabit kesalahan, boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 14 AKHAP 2011.

Katanya, bagi individu mereka boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua, denda sehingga RM250,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Katanya, bagi kesalahan syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 dan bagi kesalahan kedua didenda sehingga RM1 juta.

Dr Chong berkata, KPDNHEP Johor mengambil maklum berkenaan aduan berkaitan kenaikan beberapa jenis barangan keperluan harian di pasaran sejak akhir-akhir ini berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, bermula 13 Januari hingga 4 Februari depan.

"Selain memantau kedudukan bekalan barang kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung gandum, pemeriksaan khas ini turut memberi tumpuan ke atas barangan keperluan asas lain seperti barang kering, barang segar, barangan sedia bungkus, minuman dan barangan keperluan lain.

"Antara contoh barangan yang diperiksa termasuk beras, roti, susu tepung, ayam segar, telur ayam, bawang, sayur-sayuran, topeng muka, cecair pembersih tangan dan barang-barang lain," katanya.

Dr Chong turut menasihati peniaga agar mematuhi undang-undang khususnya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang sewenang-wenangnya manakala pengguna diingatkan agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan nasihat kesihatan ketika keluar mendapatkan barangan keperluan harian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 2:18 PM