GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Shah Alam: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor mengeluarkan 267 notis kepada peniaga dikesan menaikkan harga jualan barangan terutama menjelang musim perayaan, bermula 1 Januari lalu sehingga semalam.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhammad Zikril Azan Abdullah berkata, hasil maklum balas peniaga terhadap notis dikeluarkan mendapati satu daripadanya memerlukan proses siasatan lanjut pihaknya.

"Satu notis memerlukan proses siasatan lanjut berikutan kami mengesyaki berlaku pengambilan keuntungan berlebihan melalui analisis awal yang dijalankan.

"Kami menerima sejumlah 114 aduan berkaitan kenaikan dan penandaan harga serta kesukaran mendapatkan barangan keperluan bermula 1 Januari lalu hingga semalam.

"Tindakan ke atas aduan yang diterima berkaitan harga barangan diberi keutamaan dan diselesaikan dalam tempoh 24 jam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Zikril Azan berkata, sebanyak 11 kes membabitkan kesalahan penandaan harga hingga semalam direkodkan pihaknya susulan Op Pantau sedang dijalankan di seluruh negeri bermula April ini hingga bulan depan.

"KPDNHEP Selangor menjalankan pemeriksaan ke atas 4,064 premis serta gerai jualan dan mendapati terdapat segelintir peniaga masih ingkar dalam membuat penandaan harga ke atas barangan jualan terutama di bazar serta pasar awam," katanya.

Beliau berkata, pengguna di Selangor yang ingin menyalurkan aduan berhubung harga dan barang keperluan boleh melayari portal [email protected], e-mel [email protected], menghubungi pusat panggilan 1800 886 800 atau WhatsApp 019- 279 4317.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 5:17 PM