Zaid Salim

Setiu: Hujan berterusan sesekali lebat sejak kelmarin menyebabkan beberapa kampung di kawasan rendah di Terengganu mulai ditenggelami banjir.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, setakat 11 pagi hari ini, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Setiu, sekali gus menjadikan keseluruhan tiga PPS beroperasi termasuk satu di Kuala Nerus, semalam.

Beliau berkata, seramai 45 orang daripada 10 keluarga ditempatkan di tiga PPS berkenaan.

"Dua PPS di Setiu adalah Balai Raya Kampung Bari Besar dibuka pada 8 pagi membabitkan pemindahan 16 mangsa manakala di PPS Masjid Chalok Kedai pula seramai lima mangsa daripada satu keluarga.

PENDUDUK meredah banjir di Kampung Chalok Kedai. FOTO Ghazali Kori
PENDUDUK meredah banjir di Kampung Chalok Kedai. FOTO Ghazali Kori

"Keseluruhan mangsa banjir kini seramai 45 orang termasuk 24 daripadanya ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Mengabang Telipot di Kuala Nerus yang dibuka semalam," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Setakat pagi ini, cuaca di seluruh negeri masih hujan lebat di kebanyakan tempat.

Tinjauan di Kampung Chalok Kedai, Setiu mendapati laluan utama ke kampung itu mula dinaiki air lebih satu meter.

Tinjauan mendapati penduduk terutama yang tinggal di kawasan rendah dan mudah ditenggelami air bersiap sedia untuk berpindah jika banjir semakin buruk.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 1:59 PM