KAKITANGAN pejabat kesihatan melakukan saringan kesihatan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Surau Kampung Bukit Nyior, Pelong, Setiu hari ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
KAKITANGAN pejabat kesihatan melakukan saringan kesihatan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Surau Kampung Bukit Nyior, Pelong, Setiu hari ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


Permaisuri: "Saya tak lena tidur malam tadi kerana risau air semakin naik sebelum membuat keputusan meredah banjir bersama suami ke pusat pemindahan sementara pada jam 1 pagi," kata Zabediah Mohd, 58, dari Kampung Bukit Nyior, Pelong, di sini.

Zabediah berkata, walaupun hampir setiap tahun mereka terpaksa bermalam di PPS, namun tahun ini sedikit berbeza kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat kerana masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Selain perlu memakai penutup hidung dan mulut setiap mangsa banjir perlu menjalani saringan awal kesihatan.

"Rutin kami sekeluarga setiap kali masuk November kami akan memindahkan barang dan peralatan rumah ke tempat lebih tinggi kerana bahagian dapur mudah ditenggelami air," katanya ketika ditemui di PPS Surau Kampung Bukit Nyior, Pelong, Sungai Tong, di sini, hari ini.

Sementara itu, Kamariah Mat Zin, 60, berkata, dia bersama tiga suami, anak orang kurang upaya (OKU) dan cucu meredah banjir sedalam 0.7 meter kira-kira jam 10 malam untuk ke PPS.

"Kami berpindah ke sini kerana air semakin laju selain bimbang keadaan boleh membahayakan keselamatan jika tidak berpindah.

"Lokasi rumah kami di bawah bukit menyebabkan kerap kali dimasuki air apabila musim banjir sejak berpuluh tahun lalu, mujur PPS tidak jauh dari rumah mudah untuk kami meninjau keadaan rumah," katanya.

Dia berkata, biasanya mereka hanya bermalam dalam tempoh semalam atau dua sahaja di PPS kerana paras air mudah naik, tetapi cepat surut jika tidak hujan.

Terdahulu, dua PPS dibuka apabila Felda Chalok Barat dan Kampung Bukit Nyior, Pelong dinaiki air sejak malam tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Setiu, Kapten (PA) Mohd Nizu Husien berkata, PPS pertama dibuka sejak jam 11 malam di Surau Kampung Bukit Nyior, Pelong menempat 37 mangsa banjir dari 10 keluarga.

"Sementara PPS kedua dibuka sejak jam 11.30 malam tadi di balai raya Kampung Sungai Lerek dan seramai tujuh mangsa daripada satu keluarga ditempatkan di situ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2020 @ 3:39 PM