ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP melakukan pemantauan harga sayur. FOTO Baharom Bakar
ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP melakukan pemantauan harga sayur. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar
am@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri membuka empat kertas ke atas pemborong ayam atas kesalahan gagal menurunkan harga pada paras ditetapkan.

Pengarah KPDNHEP negeri, Saharuddin Kia berkata, harga maksimum ayam adalah RM10.50 sen sekilogram, manakala harga minimum ditetapkan RM8.80 sen sekilogram.

Katanya, empat kertas siasatan itu dibuka ke atas pemborong ayam atas kegagalan menurunkan harga pada paras ditetapkan.

"KPDNHEP juga mengeluarkan sebanyak 47 notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) kepada peniaga ayam di seluruh negeri," katanya melalui kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Saharuddin menjelaskan, sebanyak 41 peniaga di peringkat borong dan runcit diberikan surat pemberitahuan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011.

Katanya, pemborong dan peniaga berkenaan diminta untuk menurunkan harga jualan ayam seperti ditetapkan.

Ketika mengulas mengenai kenaikan harga sayur, Saharuddin menjelaskan, kenaikan harga sayuran adalah bersifat sementara dan dijangka akan mengalami penurunan semula apabila keadaan cuaca bertambah baik.

Katanya, kenaikan harga sayuran disebabkan keadaan cuaca yang memberi kesan kepada kekurangan bekalan disebabkan kerosakan hasil pertanian serta faktor tambahan kos penggunaan baja.

"Hasil pemantauan dilakukan, bukan semua pasar awam dan pasar raya menaikkan harga sayur, sebaliknya masih terdapat peniaga masih menjualnya dengan harga murah," katanya.

Justeru itu, katanya, pengguna disarankan untuk berbelanja secara bijak dengan memilih premis yang menawarkan barangan pada harga berpatutan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 8:50 AM