GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Peniaga ayam di beberapa pasar utama di negeri ini bertekad untuk tidak mendedahkan nama pemborong walaupun bakal dikenakan tindakan kerana menjual ayam melebihi harga ditetapkan.

Beberapa peniaga ketika ditemui mengakui pendedahan nama pembekal akan mengakibatkan mereka diboikot dan tidak mendapat bekalan.

Peniaga ayam, Saiful Ngah, 47, berkata, dia menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas kepada penternak di peringkat ladang dan bukannya ke atas pemborong dan peniaga.

"Kami bertekad untuk tidak mendedahkan nama pembekal termasuk menunjukkan resit pembelian kerana cara itu seolah menjerat diri sendiri.

"Walaupun bakal berhadapan dengan pelbagai tindakan kerana menjual ayam segar melebihi harga ditetapkan kerajaan iaitu RM8.90 sekilogram, tetapi kami tetap tidak akan mendedahkan nama pembekal," katanya.

Sementara itu, pemborong ayam segar dikenali dengan nama Pok Lang berkata, harga ayam hidup di peringkat ladang dijual kepada pembekal sebanyak RM6.80 sekilogram, iaitu melebihi harga ditetapkan berjumlah RM5.60 sekilogram.

Katanya, penternak memberi alasan terpaksa menaikkan harga ayam hidup susulan peningkatan harga makanan.

"Kami mengakui terpaksa menjual ayam yang sudah diproses kepada peniaga pada harga antara RM8.50 dan RM8.70 sekilogram selepas menolak kos pengangkutan dan kerja pembersihan.

"Kami terpaksa mengambil bekalan ayam hidup di Segamat, Johor dan Kuantan, Pahang setiap hari," katanya.

Pok Lang berkata, dia tidak menyalahkan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Pengguna (KPDNHEP), sebaliknya menggesa kerajaan menyiasat secara terperinci harga jualan ayam hidup di peringkat ladang.

"Kita tidak akan mendedahkan nama syarikat pemborong kepada KPDNHEP walaupun bakal dikenakan tindakan kerana menjual ayam di peringkat borong melebihi harga ditetapkan iaitu RM7.60 sekilogram.

"Pengalaman apabila pemborong enggan menghantar bekalan kerana mendedahkan nama syarikatnya lebih 10 tahun lalu cukup memeritkan selepas saya mengemukakan resit pembelian kepada KPDNHEP ketika berlakunya krisis kenaikan harga ayam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2022 @ 2:27 PM