Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Peserta pasar tani diingatkan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan berikutan musim tengkujuh yang sedang melanda negeri ini.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Che Ghani Che Wan berkata pihaknya tidak akan berkompromi malah menyokong tindakan dikenakan terhadap peserta yang berbuat demikian.

Menurutnya, peserta pasar tani perlu mematuhi garis panduan senarai harga barangan ditetapkan.

"Kita bukan sahaja tidak akan berkompromi sebaliknya memberi kerjasama kepada agensi penguat kuasa lain mengambil tindakan terhadap peserta yang menaikkan harga barangan keterlaluan.

"Kita sentiasa memantau dan mengeluarkan garis panduan kepada peserta pasar tani, terutama membabitkan harga ayam, ikan dan sayur-sayuran," katanya kepada media selepas merasmikan Program Labu Makanan Jalanan di Pasar Tani Padang Hiliran, di sini, hari ini.

Yang turut hadir adalah Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Zulkepli Amin Mat Jusoh.

Mengulas mengenai ketetapan RM9.50 sen sekilogram harga ayam dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Che Ghani berkata, semua peniaga ayam di pasar tani seluruh negeri digesa mematuhi harga ditetapkan walaupun ada antara peserta mendakwa sukar mendapatkan bekalan daripada pembekal.

"Setakat ini kita berpuas hati apabila peniaga ayam mematuhi arahan ditetapkan.

"FAMA tidak akan bertanggungjawab dan bersedia memberi kerjasama kepada agensi penguat kuasa lain termasuk KPDNHEP mengambil tindakan ke atas peserta pasar tani yang menaikkan harga jualan selain menjual pelbagai barangan dengan harga keterlaluan," katanya.

Mengulas mengenai barangan di musim tengkujuh, Che Ghani memberi jaminan semua barangan termasuk ikan segar, ayam, daging dan sayur-sayuran mencukupi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 November 2021 @ 2:11 PM
CHE Alias (kanan) dan Zulkepli Amin (dua dari kanan) melihat rock melon manis dijual di pasar tani Padang Hiliran selepas merasmikan program labu makanan jalanan, hari ini. FOTO Baharom Bakar
CHE Alias (kanan) dan Zulkepli Amin (dua dari kanan) melihat rock melon manis dijual di pasar tani Padang Hiliran selepas merasmikan program labu makanan jalanan, hari ini. FOTO Baharom Bakar