Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengenal pasti beberapa pemborong yang dikesan 'cekik darah' kepada peniaga ayam dengan menjual bahan mentah itu dengan harga tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman menegaskan sikap cekik darah pemborong yang menjual ayam melebihi harga ditetapkan kepada peniaga runcit adalah satu penganiayaan.

Katanya, peniaga merungut hanya memperolehi keuntungan 10 sen bagi setiap kilogram (kg) ayam standard selepas kerajaan menguatkuasakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021.

"Peniaga mengadu pemborong menjual ayam kepada mereka dengan harga RM7.80 sen satu kg sedangkan harga borong ditetapkan adalah RM7.10 kg.

"Peniaga pula menghadapi keperitan apabila terpaksa menjual harga ayam RM7.90 satu kg sebagai mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan dan mereka hanya memperolehi keuntungan 10 sen (setiap kg)," katanya kepada media selepas melakukan tinjauan pematuhan SHMMP, di Pasar Besar Kedai Payang, di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Saharuddin Mohd Kia.

Mohd Nurkhuzaini yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Kota Putera berkata, KPDNHEP negeri sudah diarahkan mengambil tindakan ke atas pemborong ayam yang didapati secara terang mengingkari harga borong seperti ditetapkan kerajaan.

"Kita dimaklumkan KPDNHEP sudah melakukan risikan dan mengenal pasti nama pemborong yang bersikap keterlaluan melakukan penindasan kepada peniaga runcit.

"Hasil tinjauan dilakukan mendapati bukan sahaja peniaga runcit ayam ditindas, malah peniaga ikan pun turut menerima tampias dan menjadi mangsa penindasan pemborong," katanya yang mengesahkan ada antara peniaga tidak memperolehi keuntungan berikutan pemborong menjual ikan menyamai harga runcit.

Mohd Nurkhuzaini (dua kanan) dan Saharuddin (kanan) ketika meninjau harga ayam sempena SHMMP di Pasar Besar Kedai Payang. FOTO Baharom Bakar
Mohd Nurkhuzaini (dua kanan) dan Saharuddin (kanan) ketika meninjau harga ayam sempena SHMMP di Pasar Besar Kedai Payang. FOTO Baharom Bakar

Mohd Nurkhuzaini berkata, kerajaan negeri berpuas hati dengan pematuhan harga SHMMP oleh peniaga dan bersimpati dengan keperitan dihadapi disebabkan sikap tidak bertanggungjawab pemborong.

"Pemborong boleh menipu peniaga, tetapi tidak boleh menipu kerajaan dan penguatkuasa KPDNHEP, kita mempunyai kaedah tertentu untuk mengambil tindakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 12:51 PM