DR Siti Mariah Mahmud. FOTO arkib NSTP
DR Siti Mariah Mahmud. FOTO arkib NSTP
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kes keganasan rumah tangga di Selangor meningkat tahun ini, dengan 1,519 kes direkodkan mulai Januari hingga Oktober lalu berbanding 1,349 kes pada 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, pada 2018, sebanyak 951 kes direkodkan dan ia meningkat kepada 1,159 kes pada tahun 2019.

"Berikutan peningkatan kes ini, kerajaan negeri mengambil inisiatif dengan menyediakan Talian SELamat sebagai talian khas untuk masyarakat membuat aduan mengenai keganasan rumah tangga yang berlaku khususnya di Selangor.

"Inisiatif ini sudah beroperasi sejak 1 November lalu dan sehingga 24 November, talian SELamat menerima 14 panggilan yang mana tujuh daripadanya berkaitan keganasan rumah tangga membabitkan psikologi, fizikal, dan ekonomi," katanya pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Beliau berkata sedemikian bagi menjawab pertanyaan Juwairiya Zulkifli (PH-Bukit Melawati) berkenaan keganasan rumah tangga di Selangor.

Mengulas lanjut, Dr Siti Mariah berkata, kesemua kes yang diterima bukan kecemasan dan panggilan bertujuan mendapatkan khidmat kaunseling bagi membantu mereka dari segi pengurusan emosi.

"Talian SELamat memberikan pilihan kepada pemanggil untuk mendapatkan sesi kaunseling atau intervensi selanjutnya di badan bukan kerajaan (NGO) serta kaunselor Talian Sahabat di bawah Pusat Kaunseling Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang mempunyai kaunselor bertauliah secara bersemuka atau secara atas talian," katanya.

Beliau berkata, talian SELamat beroperasi selama 24 jam menerusi talian 03-64195027 di bawah kendalian Wanita Berdaya Selangor (WBS).

Katanya, WBS akan turut berkongsi maklumat mengenai Talian SELamat di laman sosial WBS (Facebook dan Instagram), Pusat Wanita Berdaya (PWB) di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta di pejabat rakan usaha sama sebagai langkah untuk menyebarkan kesedaran dan advokasi berkenaan KRT.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 2:37 PM