PESERTA program khusyuk mendengar penerangan yang diberikan.
PESERTA program khusyuk mendengar penerangan yang diberikan.

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) baru-baru ini melancarkan program untuk melatih kaunselor sukarelawan, bagi membantu pihaknya memperluaskan lagi perkhidmatan untuk mangsa keganasan rumah tangga.

WOA juga sudah menganjurkan satu taklimat kepada lebih 80 orang awam yang menghantar permohonan untuk menyertai program itu.

Seorang pelajar ijazah dalam bidang psikologi yang turut menghantarkan permohonan, Kow Hui San berkata, program berkenaan membuka peluang kepadanya untuk membantu menyediakan perkhidmatan penting kepada wanita yang menghadapi keganasan rumah tangga.

“Malah, latihan ini melengkapkan saya dengan kemahiran dan pengetahuan yang amat berguna untuk kerjaya saya,” katanya.

Melalui program itu, sukarelawan diberi latihan selama 30 jam termasuk bengkel, praktikal dan belajar kemahiran seperti pendengaran empati, penilaian risiko dan keperluan serta pemahaman berkenaan keganasan terhadap wanita.

Sesi latihan dikendali dan diselia oleh kakitangan profesional WAO yang mempunyai pengalaman bertahun-tahun di peringkat akar umbi. Satu prinsip yang ditekankan dalam latihan itu adalah autonomi wanita dan hormat kepada wanita.

Sebaik tamat latihan, kaunselor akan membantu mengendalikan talian bantuan WAO yang bertindak sebagai hubungan pertama antara pertubuhan itu dengan wanita yang ingin mendapatkan bantuan. Latihan itu terdiri daripada enam sesi sepanjang tiga bulan.

Menurut Pengarah Eksekutif WAO, Sumitra Visvanathan, jumlah panggilan talian bantuan yang diterima pihaknya saban hari semakin meningkat.

Katanya, sukarelawan akan membantu memastikan WAO boleh terus menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada seramai wanita yang boleh.

“Kami mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai. Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada setiap orang yang berminat mengambil bahagian dalam program ini,” katanya.

WAO menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk mangsa keganasan rumah tangga, termasuk pusat perlindungan sementara, kaunseling bersemuka dan menerusi telefon serta perkhidmatan kerja sosial. Talian bantuannya 03-79563488 terbuka untuk sesiapa saja yang mengalami penderaan atau hantar SMS TINA ke 018-9888058 untuk berbincang dengan seorang rakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 12:33 PM