GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


LIMA daripada 90 kes keganasan rumah tangga yang direkodkan Selangor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac lalu membabitkan kaum lelaki.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud berkata berdasarkan rekod yang diperolehinya, lelaki yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga itu berusia dalam lingkungan 18 hingga 60 tahun.

"Lima kes itu adalah yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor dan saya pasti lebih banyak kes yang tidak dilaporkan terutamanya apabila membabitkan penderaan terhadap kaum lelaki.

"Kebiasaannya, kaum lelaki tidak mahu melaporkan kerana ia mungkin tidak 'macho' serta bimbang dikatakan dayus.

"Bagaimanapun, ia adalah kes sebenar yang mana isteri (yang memukul suami) berkemungkinan menghadapi masalah mental justeru amat penting untuk mereka mendapatkan khidmat kaunseling.

"Kebanyakkan mangsa juga memberi alasan masih sayangkan isteri dan tidak tampil membuat laporan terhadap penderaan yang dialami," katanya ketika ditemui selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, dalam kes keganasan rumah tangga, mangsa yang tidak membuat laporan kebiasaanya berharap bahawa pasangan mereka akan berubah selain menganggap, ia adalah salah mereka sendiri dan bukan pasangan mereka.

Katanya, mangsa juga tidak mendapat sokongan keluarga dan takut untuk mengambil tindakan undang-undang kerana bimbang penceraian dengan pasangan masing akan menyebabkan anak-anak mereka menjadi mangsa (kesan penceraian).

Terdahulu, pada hari pertama Sidang DUN, Dr Siti Mariah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang berkata, kes keganasan rumah tangga meningkat pada Mac hingga April berbanding tempoh sebelumnya.

"Kawasan Kota Anggerik mencatatkan kes tertinggi iaitu 10 kes, diikuti Bukit Gasing (tujuh) dan Bukit Lanjan (empat).

"Jumlah panggilan talian khas bantuan keganasan yang kita jalankan dengan kerjasama Organisasi Pertolongan Wanita (WAO) juga dilihat meningkat apabila rekod bulan Mac menunjukkan 361 panggilan dan April (898) berbanding pada Januari (266) dan Februari (250)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 3:40 PM