GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

SELANGOR merekodkan 90 kes keganasan rumah tangga sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac lalu.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud berkata berdasarkan rekod tersebut, kes keganasan rumah tangga itu meningkat pada Mac hingga April berbanding tempoh sebelumnya.

"Kawasan Kota Anggerik mencatatkan kes tertinggi iaitu 10 kes, diikuti Bukit Gasing (tujuh) dan Bukit Lanjan (empat).

"Jumlah panggilan talian khas bantuan keganasan yang kita jalankan dengan kerjasama Organisasi Pertolongan Wanita (WAO) juga dilihat meningkat apabila rekod bulan Mac menunjukkan 361 panggilan dan April (898) berbanding pada Januari (266) dan Februari (250)," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Dr Siti Mariah (Amanah-Seri Serdang) berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Elizabeth Wong (PKR-Bukit Lanjan) berhubung kes keganasan rumah tangga di negeri ini.

Dalam pada itu, Dr Siti Mariah turut mengingatkan golongan wanita di negeri ini supaya mengetahui hak masing-masing dan mendapatkan bantuan sekiranya terus dikasari pasangan mereka.

Persidangan DUN bersambung esok.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 7:03 PM