BN menang dengan majoriti dua pertiga dalam PRN Melaka. FOTO Asyraf Hamzah
BN menang dengan majoriti dua pertiga dalam PRN Melaka. FOTO Asyraf Hamzah
Amir Abd Hamid dan Yusmizal Dollah Aling
amir_hamid@mediaprima.com.my


Kuala Lumpur: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti dua pertiga gambaran rakyat Malaysia mahukan kerajaan stabil dan kuat.

Ia juga menunjukkan sokongan rakyat terhadap konsep Keluarga Malaysia yang menggariskan tiga teras utama dan 20 pengkayaan nilai yang mendasari kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ia turut merangkumi menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia di bawah naungan Keluarga Malaysia, mengetepikan perbezaan politik untuk mencapai kestabilan, memulih semula dan merapatkan jurang ekonomi.

Penganalisis politik dan pakar geostrategis Dr Azmi Hassan berkata, sudah jelas BN mendapat kemenangan selesa apabila memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dipertandingkan.

"Saya membaca hasrat pengundi Melaka diterjemah dalam undi mereka lebih kepada hasrat rakyat Malaysia mahukan kerajaan stabil.

"Mereka ada tiga pilihan menentukan kerajaan stabil, tetapi dari sejarah dan keyakinannya, BN menawarkan kestabilan yang lebih.

"Jadi apa yang berlaku di Melaka itu besar kemungkinan perasaan keseluruhan rakyat. Jika nak dikatakan BN kembali kepada kekuatan asal seperti sebelum 2018, itu ada kemungkinannya," katanya yang dihubungi mengulas keputusan PRN Melaka.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh mengesahkan BN membentuk kerajaan Melakabaharu dengan menang 21 kerusi, Pakatan Harapan (PH) memenangi lima kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) pula menang dua.

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan calon Bebas pula tidak memenangi sebarang kerusi.

Mengulas lanjut, Dr Azmi berkata, paling menarik ramai pengundi Cina beralih semula menyokong BN apabila fakta menunjukkan DAP kehilangan kerusi di kubu kuat mereka.

"Walaupun majoriti kehilangan dihadapi DAP itu sedikit, dua kerusi dimenangi MCA dan satu kerusi dimenangi MIC sesuatu menarik diperhatikan sama ada pengundi Cina mula memberi keyakinan kepada BN.

"Mengenai Pas pula, saya agak yakin mereka akan kembali kepada Muafakat Nasional (MN)," katanya.

Beliau berkata, jika dilihat kenyataan sebelum ini oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan dan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri MN masih hidup dan boleh disegarkan kembali.

Menurutnya, keputusan PRN Melaka mempamerkan Pas tiada jalan lain selain menghidupkan MN kerana rakan sebenar boleh membantu parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah Umno, bukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Dalam Bersatu pula, adakah ia dibubarkan dalam masa terdekat? Saya rasa tidak. Bersatu tidak perlu dibubar. Apabila Pas melangkah masuk memperkuatkan MN, ini akan menekan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) kerana PN tanpa Pas menyebabkan ia tidak ke mana-mana untuk PRU-15.

"Maka Bersatu terpaksa menyertai MN. Tetapi dalam hal ini, Pas dan Umno dilihat rakan kuat dalam MN, maka Bersatu akan dianggap sebagai adik kecil terutama dalam hal pembahagian kerusi pada PRU-15.

"Jadi itu yang saya lihat kesan ketara daripada keputusan rakyat dalam perkembangan politik di Melaka semalam," katanya.

Sementara itu, aktivis masyarakat, Azman Kang Abdullah berkata, dalam tempoh pemulihan ketika ini, konsep dibawa Perdana Menteri sangat tepat dan menjadi acuan negara berbilang kaum.

Katanya, kesan pandemik Covid-19 dirasai semua pihak dan sudah tentu pemulihan membabitkan seluruh negara tanpa ada yang terkecuali.

"Saya katakan begitu kerana ketika pandemik, pelbagai program bantuan sudah disusun kepada rakyat sebagai usaha meringankan beban.

"Tetapi dengan adanya gagasan Keluarga Malaysia, semangat kepunyaan terhadap negara, sesama bangsa dapat diterjemahkan dengan begitu baik tanpa sebarang rasa sangsi.

"Ia acuan tepat kepada kerajaan untuk memberi kemakmuran menerusi kebersamaan jelas tanpa mengambil kira latar kaum bangsa dan agama kerana kita sememangnya sebuah keluarga di negara ini," katanya.

Azman berkata, faktor itu antara penyumbang kemenangan Barisan Nasional (BN) di Melaka Sabtu lalu kerana masyarakat sudah mula menilai inisiatif yang digerakkan untuk kemakmuran bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 7:48 PM