Latifah Arifin


Gombak: Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Radzi Jidin optimis Pas akan terus bersama Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, setakat ini, Pas menunjukkan komitmen untuk bergerak bersama PN dalam satu pasukan.

"Secara umumnya, kita lihat Pas begitu komited untuk bergerak bersama PN.

"Kita lihat kerjasama (ditunjukkan) cukup baik, malah (PN) telah lancarkan jentera pilihan raya di beberapa buah negeri dan akan terus melaksanakannya dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Inisiatif Menangani Beg Berat: Majlis Penyerahan Lokar Fasa Pertama di Sekolah Kebangsaan Gombak Setia, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia Muhammad Hilman Idham.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kemungkinan Pas akan memilih bekerjasama dengan Umno pada PRU-15 susulan parti itu memberi kata dua bagi memuktamadkan kerjasama menerusi Muafakat Nasional (MN).

Syarat dinyatakan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi termasuk Pas perlu keluar daripada gabungan PN, memutuskan hubungan politik dengan Bersatu serta mengisytiharkan secara rasmi 'mufaraqah' berkenaan dan bukan hanya sekadar retorik politik.

Sementara itu, Radzi ketika diminta mengulas pandangan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan parti itu ibarat 'hilang taring', menyuarakan keyakinan Bersatu menerusi kerjasama dalam PN masih mampu menyaingi parti lain pada PRU-15 nanti.

"Melihat keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai contoh, PRN Melaka dan Johor, jelas Bersatu mendapat tempat.

"Bagaimana sebuah parti baharu, yang baru menyambut ulang tahun keenam, namun (mampu) menjadi pencabar terdekat dalam politik negara, dalam tempoh singkat... khususnya dalam konteks PN," katanya.

Justeru, beliau yakin dengan gerak kerja yang tersusun, Bersatu bersama parti lain dalam gabungan itu mampu memberi saingan, terutama mengambil kira pelbagai rekod cemerlang ketika (Pengerusi PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memimpin kerajaan sebelum ini.

Tambahnya, kehadiran pengundi baru juga antara faktor perlu dilihat dan dijangka memberi kelebihan kepada Bersatu dan PN.

Semalam, Dr Mahathir mempersoalkan keberadaan Bersatu susulan tindakan Umno yang akan menentukan tarikh PRU-15.

Ditanya pandangannya selaku Menteri Kanan Pendidikan berhubung pendirian Umno supaya PRU-15 diadakan Oktober ini Radzi berkata, perkara itu jelas menunjukkan parti itu tidak mendahulukan kebajikan rakyat.

"Dalam konteks kita (Kementerian Pendidikan) penggunaan sekolah sebagai pusat pemindahan sementara (banjir) ini adalah satu kebiasaan, itu telah digunakan sekian lama dan kita telah menyenaraikan sekolah yang memang digunakan untuk dijadikan pusat pemindahan sementara.

"Pada masa sama, sekolah juga digunakan sebagai pusat mengundi. Sebab itu saya kata, seolah tak ada masa lain nak lakukan pilihan raya. Kenapa beriya nak buat sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 10:29 PM