Kamaruddin Sidek
Kamaruddin Sidek
Mohd Nasaruddin Parzi


Melaka: Pas meletakkan keyakinan undi teras dimiliki di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) ditandinginya mampu memberi kemenangan sekurang-kurangnya satu kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamaruddin Sidek berkata, undi teras itu menjadi bekalan kukuh dan selesa untuk Perikatan Nasional (PN) memberi saingan sengit kepada setiap pencabarnya.

"Biarpun Pas tidak pernah menang pada pilihan raya lalu, tapi kali ini dalam saingan tiga penjuru, kita sudah ada undi terasnya termasuk di lapan Dun yang kita letakkan calon.

"Dulu saya dapat 3,000 undi, dengan gabungan Bersatu dan Gerakan undi saya akan meningkat, ditambah lagi dengan arus isu semasa yang berlaku ketika ini.

"Kalau ikutkan kita mahu menang di semua lapan kerusi, (namun) paling kurang dapat satu pun ok," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengenai prosedur operasi standard (SOP) berkempen, beliau berkata biarpun agak ketat, namun masih ada ruang boleh dimanfaatkan calon dan jentera untuk menyampaikan hasrat dan aspirasi bertanding kepada pengundi.

"SOP tidaklah ketat sampai tiada ruang langsung. Sekarang banyak peperangan media sosial, hampir 80 peratus serangan juga melalui media sosial, manakala 20 peratus secara fizikal," katanya.

Lapan kerusi Dun ditandingi Pas ialah Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Kelebang, Bukit Katil, Serkam, Merlimau dan Duyong diwakili oleh Kamarudin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 2:28 PM