Badrul Hizar Ab Jabar


Melaka: Tepat jam 8 pagi ini, bermulalah proses pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas berakhir tempoh berkempen selama 12 hari.

Mengikut perangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 476,037 pengundi daripada 495,195 pengundi berdaftar dijangka menunaikan tanggungjawab masing-masing di 217 pusat mengundi membabitkan 1,109 saluran.

PRN Melaka perlu diadakan selepas SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka penggal ke-14.

Speaker Dun Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, sebelum ini mengumumkan Dun Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas dipersetujui Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.

Dun Melaka dibubarkan pada 4 Oktober susulan tindakan bekas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) iaitu Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) mengumumkan hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Melaka mempunyai sebanyak 28 kerusi Dun.

PRN kali ini menyaksikan seramai 112 calon bertanding dengan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan Dun membabitkan kerusi Dun Asahan, Duyong dan Gadek.

Lima kerusi iaitu Dun Rembia, Machap Jaya, Paya Rumput, Pengkalan Batu dan Bemban pula, menyaksikan pertembungan lima penjuru.

Sembilan Dun menyaksikan pertandingan empat penjuru, manakala 11 lagi Dun, tiga penjuru.

Dun yang menyaksikan pertandingan empat penjuru ialah Kuala Linggi, Durian Tunggal, Sungai Udang, Bukit Katil, Ayer Molek, Bandar Hilir, Telok Mas, Serkam dan Sungai Rambai.

Tiga penjuru pula di Dun di Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Pantai Kundor, Kelebang, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana, Rim dan Merlimau.

Proses pengundian awal bagi 11,557 anggota pasukan keselamatan diadakan pada 16 November lalu di 24 pusat mengundi membabitkan 24 Dun.

Proses mengundi awal merekodkan 10,390 individu atau 89.9 peratus anggota polis, tentera dan pasangan keluar menjalankan tanggungjawab mereka.

Secara keseluruhan, seramai 11,557 pengundi awal terdiri 9,217 anggota tentera dan pasangan serta 2,340 anggota polis.

Daripada 112 calon yang bertanding, 28 calon masing-masing daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH), manakala Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (lima), Parti Perikatan India Muslim Nasional (satu) dan Bebas (22).

Berdasarkan jantina, seramai 96 calon terdiri lelaki, manakala 16 lagi wanita bertanding kali ini.

Bagi pecahan mengikut usia pula, sembilan calon muda berusia 21 hingga 29 tahun bertanding pada PRN kali ini.

Sebanyak 21 calon berusia 30 hingga 39 tahun, 40 hingga 49 tahun (35 calon), 50 hingga 59 tahun (36 calon), 60 tahun ke atas (11 calon) dengan calon tertua berusia 68 tahun dan calon termuda pula berusia 21 tahun.

Semua pusat pengundian akan ditutup tepat 5.30 petang ini.

Petugas Pilihan Raya Negeri (SPR) telah bersiap sedia pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika tinjauan di Pusat Mengundi SK Durian Tunggal, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Petugas Pilihan Raya Negeri (SPR) telah bersiap sedia pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika tinjauan di Pusat Mengundi SK Durian Tunggal, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 7:31 AM