Suasana di bilik gerakan utama BN di Dewan Seri Chendana yang memaparkan perkembangan jumlah kiraan undi semasa PRN Melaka mengikut Dun semalam. Foto Asyraf Hamzah
Suasana di bilik gerakan utama BN di Dewan Seri Chendana yang memaparkan perkembangan jumlah kiraan undi semasa PRN Melaka mengikut Dun semalam. Foto Asyraf Hamzah
Ahmad Suhael Adnan

Melaka: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan keputusan rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini, dengan Barisan Nasional (BN) menang 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Kemenangan selesa itu menyaksikan BN berjaya membentuk kerajaan Melaka yang baharu dengan majoriti dua pertiga.

Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, Pakatan Harapan (PH) pula memenangi lima daripada 28 kerusi yang ditandingi, manakala Perikatan Nasional (PN) pula menang dua kerusi.

"Bagi Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan calon Bebas pula tidak memenangi sebarang kerusi yang ditandingi," katanya dalam sidang media di sini, malam tadi.

Statistik SPR menunjukkan BN menang di Dun Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Rembia, Gadek, Machap Jaya, Durian Tunggal, Asahan, Pantai Kundor, Paya Rumput, Kelebang, Pengkalan Batu, Ayer Molek, Duyong, Telok Mas, Rim, Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai.

Pakatan Harapan (PH) pula menang di Ayer Keroh, Bukit Katil, Kesidang, Kota Laksamana, Bandar Hilir, manakala Perikatan Nasional (PN) menang di Sungai Udang dan Bemban.

Sementara itu, Abdul Ghani memaklumkan jumlah individu keluar mengundi antara 8 pagi hingga 5.30 petang semalam adalah 326,068 individu atau 65.85 peratus daripada keseluruhan 495,195 pengundi berdaftar di Melaka.

Katanya, jumlah itu merangkumi pengundi biasa, pengundi awal dan pengundi pos yang sudah menjalankan tanggungjawab dalam PRN Melaka kali ke-15 itu.

Peratusan keluar mengundi itu merosot berbanding 84.7 peratus yang dicatatkan di Melaka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), selain di bawah sasaran asal SPR iaitu 70 peratus.

"Secara keseluruhannya, SPR berpuas hati dengan proses pengundian pada 20 November 2021 dan pengundi berdaftar dapat menunaikan hak dan tanggungjawab mereka.

"Selain itu, urusan perjalanan PRN Melaka telah dilaksanakan dengan baik mengikut perancangan yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 12:04 AM