Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kerajaan menyasarkan Malaysia muncul sebagai satu daripada negara peneraju rangkaian 5G dalam tempoh tiga tahun akan datang menerusi pelaksanaan projek dikendalikan Digital Nasional Berhad (DNB).

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, sasaran itu penting dicapai berikutan ia sebahagian daripada penentu kejayaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dalam aspek keupayaan negara menyediakan 5G.

Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan meneruskan peranannya sebagai badan kawal selia untuk memantau pelbagai perkara termasuk isu ketelusan dan sebagainya.

TAN Sri Annuar Musa hadir pembentangan dan demonstrasi Rangkaian Teras Pelbagai Operator 5G di Telekom Malaysia, Jalan Kuantan, Titiwangsa. FOTO Amirudin Sahib.
TAN Sri Annuar Musa hadir pembentangan dan demonstrasi Rangkaian Teras Pelbagai Operator 5G di Telekom Malaysia, Jalan Kuantan, Titiwangsa. FOTO Amirudin Sahib.

"Seperti dalam pelan tindakan MyDigital, DNB diberikan tempoh sebelum akhir tahun ini untuk melaksanakan perkhidmatan 5G kepada kawasan di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur sebagai permulaan.

"Menjelang akhir tahun depan, kita jangkakan untuk mencapai 40 peratus kadar liputan diikuti 80 peratus pada tahun seterusnya.

"Ini bermakna dalam tempoh tiga tahun ini, kita menjangkakan kira-kira 80 peratus populasi seluruh negara akan mencapai liputan 5G.

"Ini satu agenda nasional yang sangat penting kerana ia juga menjadi 'game changer' (penentu) kepada aktiviti ekonomi seluruh negara," katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Pembentangan dan Demonstrasi '5G Multi-Operator Core Network (MOCN) Integration' di Ibu Sawat Telekom Malaysia, Titiwangsa, di sini, hari ini.

Beliau berkata, DNB yang juga syarikat milik penuh kerajaan akan membangunkan semua infrastruktur pelaksanaan 5G menerusi model MOCN dengan kerjasama syarikat telekomunikasi di negara ini bagi menjimatkan kos supaya tidak membebankan pengguna.

"Tidak semestinya setiap teknologi baharu akan menyebabkan harga perkhidmatan tinggi kerana ia bergantung kepada keberkesanan projek itu dilaksanakan.

"Kerajaan sudah mengambil kira soal kos dan sebab itu kita berusaha mencari modul perkhidmatan yang kos efektif sebab kalau masing-masing syarikat telekomunikasi membuat infrastruktur sendiri, ia akan mengakibatkan implikasi terhadap kos dan akhirnya (kos membebankan) akan ditanggung pengguna.

"Jadi, semua syarikat telekomunikasi tiada saingan kerana mereka akan menggunakan model MOCN dan soal harga atau caj perkhidmatan ini adalah satu prasyarat yang kita kenakan kepada DNB," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 4:09 PM