Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kerajaan sedang mempertimbangkan ruang untuk semua calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berkempen menerusi saluran televisyen dan radio rasmi kerajaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, perincian perkara itu masih dalam perbincangan bersama pihak berkaitan terutama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Saya menyedari permintaan itu (berkempen di televisyen dan radio) dan kami sedang melihat perkara itu.

"Saya akan berbincang dengan RTM dalam satu atau dua hari ini jika sama ada boleh mengatur sesuatu untuk memberi peluang (berkempen) maya kepada setiap calon.

"Saya akan mengumumkan perkara ini nanti," katanya dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Pembentangan dan Demonstrasi '5G Multi-Operator Core Network Integration' di Ibu Sawat Telekom Malaysia, Titiwangsa, di sini, hari ini.

ANNUAR (tengah) ketika  pembentangan dan demonstrasi Rangkaian Teras Pelbagai Operator 5G. FOTO Amirudin Sahib
ANNUAR (tengah) ketika pembentangan dan demonstrasi Rangkaian Teras Pelbagai Operator 5G. FOTO Amirudin Sahib

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Digital Nasional Berhad Ralph Marshall.

Beliau mengulas permintaan Pakatan Harapan (PH) supaya setiap parti bertanding di PRN Melaka diberi ruang antara 30 hingga 60 minit untuk ke udara menerusi media rasmi kerajaan.

Mengulas lanjut, katanya, beliau memahami kesulitan dialami semua parti politik terutama calon baharu ketika berkempen dalam norma baharu apabila perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Saya faham apa yang mereka minta serta masalah terutama kempen dalam SOP baharu dan saya terima hakikat ada orang cakap sedikit 'handicap' (sulit) terutama kepada calon baharu.

"Walaupun parti politik memperkenalkan kaedah baharu (berkempen), tetapi masih (ada keperluan) memberi peluang kepada mereka muncul di rangkaian televisyen.

"Kami mungkin akan membenarkan perkara itu dan saya akan berbincang dengan RTM terutama membabitkan slot dan sebagainya," katanya.

Kelmarin, Jawatankuasa Komunikasi, Digital dan Multimedia PH memohon sekurang-kurangnya 30 minit bagi setiap parti berceramah di TV1, TV2, dan Bernama TV pada setiap malam serta 60 minit ke udara di Melaka FM dan Bernama Radio pada setiap hari.

Sebelum ini, SOP Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan larangan calon dan parti dalam PRN Melaka berceramah, berhimpun, ziarah rumah ke rumah atau tinjauan mesra sebaliknya calon disaran menggunakan televisyen, akhbar serta media sosial selain boleh menyebarkan risalah atau menggunakan lori dan van bergerak untuk menyebarkan manifesto dan berkempen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 2:04 PM