Kuala Lumpur: Ericsson Malaysia Sdn Bhd menyambut baik keputusan kerajaan berhubung rangkaian 5G dan yakin ia memberi kepastian bagi membolehkan semua pihak terbabit dalam projek 5G Malaysia meneruskan usaha masing-masing dengan lebih jelas.

"Kami kekal komited untuk menyampaikan pengalaman 5G bertaraf dunia selain merapatkan jurang digital menerusi kerjasama dengan Digital Nasional Bhd (DNB) serta ekosistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang lebih luas untuk rakyat Malaysia," katanya kepada Bernama.

Ini sebagai mengulas keputusan kerajaan untuk mengekalkan pelaksanaan rangkaian 5G secara Rangkaian Borong Tunggal (SWN) dan turut membuka ruang kepada syarikat telekomunikasi memegang sehingga 70 peratus ekuiti dalam DNB.

DNB sudah menganugerahkan kontrak kepada Ericsson yang juga firma Sweden untuk merekabentuk dan membangunkan rangkaian telekomunikasi 5G Malaysia.

Dalam sidang media bersama baru-baru ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, model SWN yang diterajui oleh DNB adalah berdasarkan 'pemulihan kos' dan 'berpandukan penawaran' dengan penyertaan ekuiti oleh syarikat telekomunikasi dan disifatkan sebagai penyelesaian terbaik bagi mempercepat pelaksanaan rangkaian 5G dengan objektif untuk menggalakkan rakyat menggunakan 5G.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 8:50 AM