KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia melancarkan rangkaian 5G.
KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia melancarkan rangkaian 5G.
BERNAMA

Langakah utama industri telekomunikasi tahun ini adalah melaksanakan standard generasi kelima bagi rangkaian selular jalur lebar atau 5G yang 100 kali lebih pantas berbanding 4G.

Rangkaian 3G akan ditamatkan berkuat kuasa 31 Disember ini manakala 4G sedang diperkukuh sebagai sebahagian daripada inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) yang bertujuan menaik taraf infrastruktur komunikasi digital Malaysia sebagai persediaan bagi pelancaran 5G.

Pada 10 November lalu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia melancarkan rangkaian 5G pertama negara dalam usaha menambah baik kesalinghubungan dan mencapai sasaran menjadi negara berpendapatan tinggi.

Digital Nasional Bhd (DNB), syarikat tujuan khas (SPV) kerajaan bagi pelancaran 5G mengumumkan ketersediaan rangkaian itu di beberapa kawasan tertentu di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur bermula 15 Disember lalu.

Pengguna yang memiliki peranti yang serasi dengan 5G akan dapat menikmati purata kelajuan 100 Mbps (Megabit sesaat). Ini bermakna pengguna pada titik paling lemah liputan 5G akan menerima purata 100 Mbps pada peranti yang serasi 5G.

Telekom Malaysia Bhd (TM) dan YTL Communications Sdn Bhd merupakan dua penyedia perkhidmatan pertama yang menyepadukan ke Rangkaian Akses Radio (RAN) 5G DNB yang membolehkan akses 5G kepada pelanggan mereka.

DNB juga mengumumkan ia akan menawarkan perkhidmatan borong 5G secara percuma kepada semua pengendali rangkaian mudah alih bagi percubaan komersial sehingga 31 Mac tahun depan bagi semua tapak langsung 5G yang akan disediakan di Putrajaya, Cyberjaya dan ibu kota.

DNB komited mempercepat jadual melancarkan liputan 5G ke 80 peratus daripada kawasan penduduk menjelang 2024.

DNB, entiti Menteri Kewangan (Diperbadankan) ditubuhkan pada Mac tahun ini di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan rangkaian borong tunggal (SWN) bagi rangkaian 5G yang akan mengubah dinamik pasaran mudah alih di Malaysia.

Menerusi langkah itu, syarikat telekomunikasi akan mendapat akses saksama teras rangkaian 5G selain bersaing secara sihat.

Pada Julai lalu, DNB melantik Ericsson (Malaysia) Sdn Bhd sebagai Penyedia Peralatan Rangkaian 5G (DEB) untuk mempercepat pelaksanaan rangkaian dan ekosistem 5G di seluruh negara selepas proses saringan tender yang ketat dimulakan pada Mac.

MIDF Research melihat DNB berada pada kedudukan untuk mengetengahkan yang terbaik, teknologi pada harga kompetitif dan penyelesaian bagi memacu penerimagunaan 5G di seluruh negara dengan mengurangkan kos serta pertindihan syarikat telekomunikasi.

Malah, pada masa sama, ini juga menggalakkan lebih banyak persaingan dalam industri itu.

Pada masa ini, DNB membabitkan lima pengendali rangkaian mudah alih dalam Ramgkaian Akses Radio (RAN) 5G iaitu Celcom, Digi, Maxis, Telekom Malaysia dan U Mobile.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, Jemaah Menteri akan membuat keputusan mengenai model borong tunggal pelaksanaan 5G menjelang Januari depan selepas mendapat maklum balas syarikat telekomunikasi dan penggiat industri.

Beliau turut menjelaskan Kabinet masih dalam perbincangan sama ada melaksanakan 5G menerusi satu sistem SWN atau pelbagai sistem bagi membolehkan persaingan.

Pada April lalu, Axiata Group Bhd dan Telenor Asia yang juga pemegang saham utama DiGi mengemukakan cadangan penggabungan Celcom dan DiGi di bawah satu syarikat dikenali Celcom Digi Bhd (MergeCo).

Apabila selesai, penggabungan terbabit bakal melahirkan sebuah syarikat selular nombor satu di Malaysia dengan 19.1 juta pelanggan manakala bahagian hasil pasaran perkhidmatan mudah alih sebanyak 52 peratus.

Pada Jun lalu, Axiata dan Telenor menandatangani perjanjian untuk menandakan pengesahan niat mereka dalam menubuhkan penyedia perkhidmatan digital yang lebih kukuh dan berdaya tahan secara komersial bagi memacu matlamat digital Malaysia melalui MergeCo.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah menerima permohonan penggabungan secara rasmi dan dijangka selesai suku kedua tahun depan.

Sementara itu, penyedia perkhidmatan lain turut mencatatkan pertumbuhan pendapatan yang kukuh ketika tempoh sembilan bulan pertama tahun ini walaupun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak awal tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata sepanjang tahun ini, kumpulan itu menumpukan usaha menyampaikan kesalinghubungan dan penyelesaian digital dalam menyokong kemampanan serta pemulihan ekonomi.

"Kami akan terus memainkan peranan utama kami dalam usaha pendigitalan Malaysia yang digariskan oleh pelan tindakan Jendela, Bajet 2022 dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) termasuk rangka tindakan MyDIGITAL," katanya.

Menurut firma analisis mudah alih bebas, Opensignal, ketersediaan perkhidmatan 4G di Malaysia kini pada purata 88.8 peratus setakat November lalu, peningkatan 2.8 mata peratusan sejak pelaksanaan inisiatif Jendela setahun sebelum ini.

Katanya, inisiatif Jendela membantu pengendali Malaysia menangani pengalaman rangkaian mudah alih yang berbeza di pelbagai wilayah termasuk membawa sambungan 4G ke kawasan kurang penduduk melalui pengembangan lokasi 4G.

Pengerusi SKMM Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, 94.03 peratus kawasan berpenduduk di seluruh negara mempunyai akses 4G kepada perkhidmatan jalur lebar mudah alih pada kelajuan 31.34 megabit sesaat, dengan 6.43 juta premis di seluruh negara mampu memiliki kemudahan jalur lebar tetap.

Industri telekomunikasi menyambut baik pelaksanaan 5G memandangkan ia menawarkan kesalinghubungan yang lebih luas dengan sambungan internet kependaman rendah.

Ketua Yoodo, Chow Tuck Mun yakin 5G akan membolehkan syarikat itu menawarkan pengalaman yang lebih baik kepada pengguna dan pada asasnya untuk membantu rakyat Malaysia berhubung antara satu sama lain dengan pantas.

"Kami bersedia menyesuaikan ciri-ciri seperti 5G kerana kami mampu menawarkan pengalaman perkhidmatan mudah alih yang dipertingkat untuk pengguna melalui pelan mudah alih yang disesuaikan dengan pilihan dan ciri lebih terkini," katanya.

Sementara itu, CGS-CIMB berkata, semakan semula ke atas Standard Mandatori Mengenai Penetapan Harga Akses (MSAP) akan menjadi perkembangan utama yang akan dilihat pada tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 5:59 AM