GAMBAR hiasan. Menara TM di Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Menara TM di Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Digital Nasional Bhd (DNB) komited terhadap pelaksanaan liputan 5G yang dipercepatkan untuk 80 peratus penduduk di seluruh negara menjelang 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DNB Ralph Marshall berkata, Telekom Malaysia Bhd (TM) bagi pihak Unifi Mobile dan YTL Communications Sdn Bhd mewakili Yes akan menjadi dua pengendali pertama di negara ini yang menyediakan akses 5G kepada pelanggan masing-masing di kawasan liputan.

"Kami gembira mengalu-alukan TM dan YTL Communications selaku pelanggan terawal kami bagi rangkaian 5G di Malaysia.

"TM adalah penyedia telekomunikasi paling lama di negara ini, memperkenalkan perkhidmatan telekomunikasi sejak hampir 40 tahun lepas pada 1984, manakala YTL Communications merupakan penyedia rangkaian 4G paling baharu dan satu-satunya di Malaysia," katanya berucap pada pengumuman mengenai Ketersediaan Komersial Perkhidmatan 5G di sini, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua penyedia mempunyai hampir 4.5 juta pelanggan dengan purata permintaan data bulanan antara 40 hingga 50GB bagi setiap pelanggan.

CEO YTL Communications Sdn Bhd Wing K Lee berkata, ketersediaan 5G yang disokong ekosistem DNB yang kukuh akan mempercepatkan liputan dan pelaksanaan 5G di seluruh negara.

"Kami gembira menjadi yang pertama di Malaysia untuk membawakan 5G kepada rakyat melalui pelan 5G kami yang pertama di pasaran," katanya.

DNB berkata, TM dan YTL Communications merupakan dua syarikat pertama yang memanfaatkan tawaran DNB bagi perkhidmatan 5G secara borong dengan percuma untuk semua pengendali rangkaian mudah alih (MNO) yang disepadukan dalam rangkaian DNB.

"Pengguna akhir dengan peranti serasi 5G akan menikmati purata kelajuan 100 Mbps. Ini bererti, pengguna yang berada pada liputan 5G paling lemah akan menerima purata 100 Mbps bagi peranti serasi 5G.

"Yang penting DNB akan menyediakan perkhidmatan borong 5G kepada MNO dengan kos yang jauh lebih rendah berbanding kos semasa mereka untuk menghasilkan kapasiti 4G. Justeru, MNO boleh menawarkan harga lebih rendah kepada pelanggan bagi perkhidmatan mudah alih, termasuk perkhidmatan 5G," katanya.

DNB berharap MNO berupaya menyediakan perkhidmatan 5G kepada pelanggan dengan peranti bersesuaian di kawasan liputan.

Sementara itu, sebagai penyedia borong 5G, DNB berkata ia tidak akan bersaing dengan industri untuk menyediakan perkhidmatan runcit 5G kepada pengguna akhir.

"Sebaliknya, DNB melengkapkan usaha MNO untuk mempercepatkan pelaksanaan 5G di negara ini. Pengguna akhir digalakkan menghubungi penyedia perkhidmatan masing-masing untuk mendapatkan maklumat mengenai ketersediaan 5G," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 1:54 PM