BERNAMA

Kuala Terengganu: PAS akan mengarahkan semua ahli dan penyokongnya mengundi calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, arahan itu turut terpakai walaupun pada kerusi yang ditandingi Barisan Nasional (BN).

"Kita pegang amanat yang telah diberikan kepada akar umbi dan jentera untuk mendukung Perikatan Nasionalā€¦ PAS sudah bersetuju untuk pakai simbol Perikatan Nasional dalam PRN (Melaka) nanti.

"Kita pegang asas kerjasama tiga partiā€¦ mestilah berlaku pembahagian kerusi yang adil antara parti-parti (dalam kerajaan). Kalau dia (BN) tak mahu kerjasama terpulang pada dialah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan dasar sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke-67, di sini, hari ini.

DATUK Seri Abdul Hadi Awang menyampaikan ucapan dasar semasa merasmikan Muktamar Tahunan PAS kali ke-67 di Duyong Marina Resort. FOTO Ghazali Kori
DATUK Seri Abdul Hadi Awang menyampaikan ucapan dasar semasa merasmikan Muktamar Tahunan PAS kali ke-67 di Duyong Marina Resort. FOTO Ghazali Kori

BN hari ini mengumumkan 28 calon untuk bertanding pada PRN Melaka iaitu 20 kerusi Umno, tujuh MCA dan satu MIC.

Mengenai calon PAS pula, Abdul Hadi berkata, pengumuman akan dibuat pada 3 petang ini dan memberi bayangan parti itu akan bertanding satu pertiga daripada 28 kerusi yang dipertandingkan pada PRN Melaka.

Ditanya sama ada pengumuman BN meletakkan 28 calonnya akan menyebabkan pertandingan tiga penjuru, Abdul Hadi berkata, pintu rundingan masih terbuka selagi belum berlangsungnya hari penamaan calon pada 8 November depan.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Oktober lalu apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November ini, manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal pada 16 November.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 2:21 PM