AHMAD Samsuri pada sidang media selepas Penyampaian Bayaran Keuntungan Kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu oleh TDM Berhad di Wisma Darul Iman. FOTO Ghazali Kori
AHMAD Samsuri pada sidang media selepas Penyampaian Bayaran Keuntungan Kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu oleh TDM Berhad di Wisma Darul Iman. FOTO Ghazali Kori
Baharom Bakar
am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Rundingan antara parti dalam Perikatan Nasional (PN) serta Umno untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menunjukkan tanda positif.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, rundingan bagi mengelakkan berlakunya pertembungan tiga penjuru parti dalam PN masih giat dijalankan.

"Setakat ini perbincangan dilakukan bersama pimpinan tertinggi Pas, Umno dan Bersatu untuk menghadapi PRN Melaka menunjukkan tanda positif.

"Keputusan termasuk pengagihan kerusi akan dimuktamadkan sebelum hari penamaan calon, pada 8 November depan," katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis penyerahan cek bayaran keuntungan kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan (LTAWNT) di sini, hari ini.

Majlis penyerahan cek keuntungan bernilai RM1.87 juta diserahkan Pegawai Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin kepada Setiausaha LTAWNT, Nor Azam A Rahman.

Ketika mengulas jumlah kerusi akan ditandingi Pas, Dr Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar enggan mengulas lanjut, tetapi pengagihan kerusi pada PRN akan dilakukan secara adil untuk semua parti dalam PN.

"Perbincangan masih diadakan tetapi kita yakin tidak akan berlaku pertembungan tiga penjuru," katanya.

Ketika ditanya sama ada akan mempertahankan jawatan sebagai Naib Presiden parti pada pemilihan Muktamar Pas ke-67 pada 6 dan 7 November depan, Dr Ahmad Samsuri memaklumkan belum membuat keputusan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 4:25 PM