Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berharap Perikatan Nasional (PN) akan memenangi lebih banyak kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac depan.

Abdul Hadi berharap PN yang diterajui PAS, BERSATU dan Gerakan itu dapat menarik sokongan rakyat Johor berdasarkan pertambahan undi yang diperoleh gabungan berkenaan pada PRN sebelum ini.

"Di Melaka, UMNO dapat undi asal dia saja, tak dapat undi baru (hanya) naik satu peratus (sedangkan) kita meningkat.

"Undi PAS meningkat, undi Perikatan Nasional, BERSATU meningkat dalam pilihan raya negeri di Melaka, di Sarawak naik sehingga DAP pun kalah di Sarawak.

"Itu perubahan yang berlaku. Jadi kita harap Johor akan berlaku perubahan lagi, " katanya selepas menyampaikan Kuliah Mingguan di Masjid Rusila di sini, hari ini.

Mengulas mengenai pengagihan kerusi dalam PRN Johor, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, PAS berpuas hati dengan pengagihan kerusi dalam parti komponen itu.

Beliau berkata, pembahagian kerusi itu dicapai menerusi perbincangan sesama parti yang berada dalam PN sebelum ini.

Ketika ditanya mengenai pertembungan kerusi antara PAS dan UMNO dalam PRN Johor, Abdul Hadi berkata, pihaknya akan bertanding secara adil.

"Oleh kerana UMNO tak tarik diri, kita terpaksa lawan (dan) kita bertanding atas Perikatan Nasional," katanya.

Semalam, PN mengemukakan 41 calon muka baharu daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor.

Daripada jumlah itu, BERSATU diperuntukkan sebanyak 33 kerusi, PAS (15) manakala Gerakan pula akan bertanding di lapan kerusi.

DATUK Seri Abdul Hadi Awang selepas menyampaikan kuliah pagi di Masjid Rusila. FOTO Ghazali Kori
DATUK Seri Abdul Hadi Awang selepas menyampaikan kuliah pagi di Masjid Rusila. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 4:49 PM