Abggota polis dan bomba mengusung mayat Muhammad Arif Danial yang ditemukan lemas di Sungai Pengkalan Cicar dekat Chukai, hari ini. Foto Rosli Ilham
Abggota polis dan bomba mengusung mayat Muhammad Arif Danial yang ditemukan lemas di Sungai Pengkalan Cicar dekat Chukai, hari ini. Foto Rosli Ilham
Rosli Ilham

Chukai: Remaja ditemukan lemas ketika mandi bersama adik dan tiga rakannya di Sungai Pengkalan Cicar dekat sini, petang hari ini.

Mayat Muhammad Arif Danial Anuar, 13, yang merupakan pelajar pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kuang ditemui pada 5.28 petang.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mangsa bersama adik dan rakannya itu dikatakan mandi di sungai terbabit yang terletak kira-kira 600 meter dari rumahnya.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dilaporkan dihanyutkan arus sebelum adik mangsa menghubungi ibu bapanya untuk memaklumkan kejadian itu.

"Polis yang menerima laporan mengenainya bergegas ke lokasi bersama sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai.

"Mayat mangsa ditemukan Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) JBPM di dasar sungai terbabit kira-kira dua jam selepas itu," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, ibu mangsa, Rosliza Malik, 45, berkata, anaknya itu keluar dari rumah pada 1 tengah hari dan dia tidak menyangka anaknya pergi mandi di sungai terbabit.

Menurutnya, dia dan suaminya berada di bandar Chukai membeli barang keperluan.

"Saya mendapat berita sedih itu daripada seorang anak sebelum saya dan suami bergegas ke lokasi kejadian sebelum menghubungi pihak berkuasa pada 3.20 petang," katanya.

Menurutnya, anaknya itu ada memintanya masak nasi lemak dengan ayam goreng pedas sedangkan sebelum ini dia makan apa saja yang dimasak dan tidak suka makanan pedas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 November 2021 @ 10:03 PM