MAYAT Muhammad Ammar Izzat Zainuddin ditemui di dalam sungai Kampung Teladas. FOTO Rosli Ilham
MAYAT Muhammad Ammar Izzat Zainuddin ditemui di dalam sungai Kampung Teladas. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Chukai: "Tidak sangka sungai tempat dia sering mandi menjadi lokasi mayat adik terjatuh dan ditemui sudah tidak bernyawa," kata Zailatul Ain Zainuddin, 35, selepas adiknya ditemukan meninggal dunia di bawah jambatan Kampung Teladas, Air Putih Kemaman, tengah malam tadi.

Mayat Muhammad Ammar Izzat Zainuddin, 16, ditemui di atas timbunan kayu di bawah jambatan itu bersama motosikal Honda EX5 yang ditunggangnya pada 12.45 tengah malam.

Mangsa terjatuh selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai terbabas sebelum terjatuh ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Air Putih di sini.

Zailatul berkata, kehilangan Muhammad Ammar disedari ibu mereka selepas adiknya tiada di bilik tidur dan tidak pulang selepas keluar bersama rakan-rakannya.

"Adik keluar minum bersama rakan-rakannya dan dia pulang lebih awal ke rumah dengan menunggang motosikal dan mungkin terjatuh di bawah jambatan itu yang tidak mempunyai penghadang.

"Kami semua sangat risau apabila ibu memaklumkan adik tidak pulang dan kami semua mencarinya merata tempat namun gagal," katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Kemaman, hari ini.

Menurutnya, kehilangan adiknya itu terjawab selepas mayatnya ditemukan di bawah jambatan itu oleh penduduk kampung.

Menurutnya, adiknya itu sering bersama rakan-rakannya mandi di sungai itu pada waktu petang.

"Adik sering mandi di sungai itu bersama rakan-rakannya dan berdasarkan cerita daripada rakan-rakannya, adik mandi di situ sejak beberapa hari lalu dan dia (adik) sering termenung ketika mandi di situ dan acap kali berehat di atas timbunan kayu di bawah jambatan tempat mayatnya ditemui.

"Mungkin arwah (adik) sudah tahu ajalnya akan berlaku di situ lokasi mayatnya ditemui penduduk kampung malam tadi," katanya.

Katanya, adiknya itu sangat aktif dalam sukan bola sepak dan sepak takraw dan sifat baiknya yang sering membantu sangat digemari rakan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pihaknya percaya mangsa menunggang motosikal dari arah Air Putih bersendirian sebelum hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kanan jalan lalu terjatuh ke dalam sungai itu.

"Pegawai perubatan mengesahkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian dada.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 5:04 PM