Mohd Rafi Mamat


Rompin: Sebanyak 31 tan bekalan makanan kering dihantar ke Pulau Tioman sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut yang akan tiba tidak lama lagi.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, bekalan makanan berkenaan disediakan kerajaan Pahang dan agihan kepada lima pangkalan hadapan di pulau peranginan berkenaan mula dilakukan kelmarin menggunakan tiga kapal kargo yang disewa khas.

Menurutnya, lima pangkalan hadapan di Pulau Tioman terletak di Kampung Tekek, Kampung Juara, Kampung Mukut, Kampung Salang dan Kampung Genting.

"Bantuan makanan akan diberikan kepada setiap ketua isi rumah (KIR) apabila berlaku sahaja Monsun Timur Laut yang menyebabkan penduduk tidak dapat melakukan semua aktiviti di laut termasuk sektor pelancongan ditutup sementara.

"Antara barangan bantuan yang disediakan seperti beras, biskut, gula, tepung, minyak masak, sardin dan kopi yang mampu digunakan selama 10 har termasuk selimut, toto, tuala dan kain pelekat.

"Jabatan akan segera agihkan barangan bantuan apabila berlaku Monsun Timur Laut, semua barangan kini sudah ditempatkan di lima pangkalan hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian pada program misi penyelarasan bekalan makanan persediaan bencana ke Pulau Tioman, di sini semalam.

ZULKHAIRI Zainol Abidin (dua dari kiri) dan Dr Asmadi Abdul Rahman melihat beras bantuan bencana di pangkalan hadapan Kampung Tekek, Pulau Tioman. FOTO MOHD RAFI MAMAT
ZULKHAIRI Zainol Abidin (dua dari kiri) dan Dr Asmadi Abdul Rahman melihat beras bantuan bencana di pangkalan hadapan Kampung Tekek, Pulau Tioman. FOTO MOHD RAFI MAMAT

Turut sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dr Asmadi Abdul Rahman.

Zulkhairi berkata, tahun lalu pihaknya mengagihkan sebanyak 19 tan barangan makanan kepada penduduk Pulau Tioman namun kali ini bertambah kepada 31 tan berikutan tempoh penggunaan bantuan dipanjangkan daripada seminggu kepada 10 hari.

Katanya, projek itu dilaksanakan setiap tahun dan mampu memberi manfaat kepada lebih 750 KIR dan 2,800 ahli isi rumah di pulau itu terutamanya ketika musim Monsun Timur Laut.

Tambahnya lagi, peruntukan bantuan pangkalan hadapan di Pulau Tioman sebanyak RM350,000 disediakan oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

yang sentiasa prihatin dengan nasib rakyat dalam kesusahan.

"Kita mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Pasaraya Darul Makmur (PDM) milik MUIP

yang bertanggungjawab sepenuhnya menyediakan barangan terbabit kepada semua 140 pangkalan hadapan di negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 9:24 AM