Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sediakan peruntukan sebanyak RM1 juta dalam bentuk barangan untuk diagihkan kepada 777 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, ia disalurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang bertanggungjawab menyediakan keperluan mangsa banjir di pusat itu.

Katanya, bantuan juga untuk meringankan beban kerajaan negeri dan pusat dalam menyediakan keperluan golongan itu.

"JKM memanfaatkan bantuan diberi MUIP untuk membekalkan sembilan jenis keperluan asas mangsa banjir termasuk beras, sardin, gula, biskut, lari ayam dalam tin dan tepung untuk kegunaan selama seminggu.

"Ia juga digunakan petugas untuk memasak makanan di PPS, selain penyediaan lampin pakai buang kanak-kanak dan dewasa, selimut dan bantal," katanya selepas melawat depoh barangan JKM, di sini yang turut dihadiri Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin.

Sebelum ini MUIP mengagihkan bantuan yang ditempatkan di pangkalan hadapan di beberapa kampung yang diuruskan oleh ketua kampung terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 8:20 AM