APMM membantu memindahkan seorang wanita mengandung menggunakan helikopter dari Pulau Tioman ke HTAA, Kuantan. FOTO Ihsan APMM
APMM membantu memindahkan seorang wanita mengandung menggunakan helikopter dari Pulau Tioman ke HTAA, Kuantan. FOTO Ihsan APMM
Khairulmizan Yahya

Kuantan: Seorang wanita mengandung terpaksa dipindahkan dari Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, menggunakan helikopter berikutan keadaan laut bergelora, malam semalam.

Pesakit terbabit, Afika Abu Bakar, 22, diterbangkan dengan helikopter Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kira-kira 8.50 malam selepas mengalami kontraksi kelahiran pramatang dan memerlukan rawatan segera di hospital kerana dijangka bersalin awal.

Pengarah APMM Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, pihaknya menerima pada 6.20 petang bagi memindahkan pesakit berkenaan ke hospital untuk pembedahan.

"Helikopter jenis Agusta AW139 yang diterbangkan dari Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) tiba di Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman sekitar 8.50 malam tadi untuk mengambil pesakit.

"Ia kemudian mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan lebih kurang 9.15 malam lalu pesakit dihantar ke HTAA menggunakan ambulan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, penerbangan ihsan ini diketuai juruterbang, Leftenan Komander Maritim Tengku Zamel Tengku Zalwai bersama pembantu juruterbang Leftenan Komander Maritim Muhammad Mahathir Ahmad serta dua kru.

Katanya, turut mengiringi pesakit adalah suaminya, seorang pegawai perubatan dan seorang jururawat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, penerbangan ihsan berkenaan adalah kali kedua membabitkan kes perubatan di negeri ini dalam tempoh seminggu.

"Kali ini membabitkan seorang wanita dengan usia kandungan 32 minggu (lapan bulan), tetapi dia menunjukkan tanda-tanda untuk bersalin pramatang. Pesakit ini tidak dapat dihantar dengan bot ambulan kerana laut bergelora pada masa ini.

"Setakat pagi ini, pesakit masih dalam proses rawatan untuk mengelakkan proses kelahiran pramatang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 1:39 PM